Home Semasa Polis lakukan pemantauan kesan kumpulan, individu jual sijil vaksin COVID-19 palsu

Polis lakukan pemantauan kesan kumpulan, individu jual sijil vaksin COVID-19 palsu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Polis sedang melakukan risikan dan pemantauan bagi mengesan kumpulan atau individu persendirian yang menjalankan aktiviti menjual sijil vaksin COVID-19 palsu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sehingga kini hanya satu kes dikesan berkaitan penawaran sijil vaksin palsu tersebut.

“Suspek merupakan seorang pengamal perubatan berusia 51 tahun disyaki menjalankan aktiviti penjualan sijil vaksin COVID-19 tanpa memberikan suntikan vaksin sebenar,

“Suspek sedang direman sehingga Rabu untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kamarudin mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kegiatan itu digesa untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan seumpama itu untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,”jelasnya.

Sebelum ini, Polis Terengganu telah membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (janji temu) vaksinasi, pada Sabtu lalu.

Kegiatan itu terbongkar apabila anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) membuat penahanan seorang doktor lelaki berusia 51 tahun di sebuah klinik swasta di Marang, Terengganu pada 7 malam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dilaporkan berkata, tangkapan tersebut dilakukan selepas menerima maklumat orang awam berhubung aktiviti berkenaan.

Beliau berkata, suspek dipercayai melakukan urusan penjualan itu secara dalam talian sejak September tahun lalu dengan setiap sijil dikenakan bayaran antara RM400 hingga RM600.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply