LIPIS, 13 Ogos – Polis menahan 2 daripada 5 lelaki yang disyaki terlibat dalam kes menyerang petugas dan pelajar sebuah pusat tahfiz di Lipis yang tular di media sosial di sekitar Damak, Jerantut, semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku apabila 5 lelaki berusia 30 tahun telah pergi ke pusat tahfiz tersebut dengan menaiki pacuan 4 roda jenis Isuzu dan 3 orang daripadanya telah turun serta menyerang mangsa.
Beliau berkata, 2 suspek berusia 30 tahun itu turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah selain ujian saringan air kencing mereka juga didapati positif methamphetamine.
Jelasnya, kedua-dua mereka telah direman selama 4 hari bermula semalam, manakala polis telah mengenal pasti identiti 3 lagi suspek yang masih bebas dan usaha mengesan mereka masih giat dilakukan.
“Siasatan awal mendapati, 5 suspek berkenaan telah ke pusat tahfiz itu sekitar 5.10 petang semalam dan 3 daripada mereka dipercayai bertindak menyerang seorang petugas tahfiz serta seorang pelajar di situ,
“Akibat serangan itu, petugas tahfiz berkenaan yang juga merupakan seorang ustaz telah cedera di sebelah mata kanan dan menerima 4 jahitan selain lebam di badan manakala pelajar tersebut telah mengalami sakit badan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Azli menjelaskan, hasil siasatan awal juga mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat perasaan tidak puas hati berkenaan bayaran makanan yang dikenakan di pusat tahfiz itu.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 kanun sama kerana menceroboh kawasan.
Pada Jumaat, video mengenai kejadian tersebut tular di media sosial sehingga mengundang kemarahan orang ramai. -airtimes.my