KUALA PERLIS, 18 Mei – Polis Perlis mematahkan satu sindiket penyeludupan dadah dan merampas 190.9 kilogram ketulan ganja dianggarkan bernilai RM477,250 dan menahan 6 suspek warga tempatan dalam satu serbuan awal pagi hari raya pertama.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, penahanan suspek termasuk ketua sindiket berkenaan dilakukan selepas rondaan mengesan bot jenis fiber ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di jeti haram di Kuala Perlis pada awal pagi Aidilfitri lalu.
“Pemeriksaan tidak menemui sesiapa berhampiran bot berkenaan namun apabila diteliti, polis menjumpai 190.9 kilohram (kg) ganja yang tersembunyi di bahagian dalaman bot berkenaan,
“Siasatan dan risikan membawa polis ke sebuah rumah di Kuala Perlis dan Simpang Empat pada lewat petang dan malam Sabtu lalu yang mana 3 individu termasuk seorang wanita dan ketua sindiket ditahan,
“Polis kemudian menahan 3 lagi lelaki di Langkawi dan Kuala Perlis pada keesokannya kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan 3 anggota sindiket yang ditahan dan kesemua yang ditahan adalah berusia antara 20 hingga 40 tahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.
Surina berkata, semua suspek lelaki mempunyai jenayah lampau berkaitan dadah dan beberapa kesalahan lain.
Beliau berkata siasatan selanjutnya mendapati, sindiket itu dipercayai mula aktif awal tahun ini dan menggunakan jalan laut untuk menyeludup masuk dadah dari negara jiran, sebelum dipasarkan ke Pulau Pinang.
“3 suspek utama termasuk teman wanita direman bermula 16 Mei hingga hari ini, manakala baki suspek direman bermula semalam hingga 19 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kini kita sedang berusaha untuk mengesan saki baki ahli sindiket yang melakukan jenayah penyeludupan ini di negeri Perlis,” tambahnya. – airtimes.my