KUALA LUMPUR, 23 Mei – Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos direman tiga hari bermula hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.
“Beliau (Jamal) direman bermula hari ini sehingga Jumaat bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia itu, 47, ditahan di sebuah hospital swasta di Jalan Memanda, Ampang, sekitar jam 1.15 petang semalam, oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Selangor.
Tangkapan itu dibuat susulan satu laporan polis yang diterima pada 12 Mei lalu, oleh seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Langat.
Difahamkan, pengadu mendakwa melihat beberapa keping gambar menunjukkan Jamal menyelitkan senjata api di pinggangnya di tempat awam.
Dalam laporannya pengadu meminta polis menyiasat perbuatan Jamal itu dan menarik lesen senjata api sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku.
Jamal masih ditahan di hospital tersebut kerana sedang menjalani rawatan.
Polis Selangor mengesahkan terdapat beberapa lagi kes berkaitan Jamal sedang disiasat di samping dua waran tangkap yang akan disempurnakan setelah selesai menjalani rawatan.