Home Semasa Vaksin COVID-19: Ibu bapa perlu patuh janji temu dos kedua anak remaja

Vaksin COVID-19: Ibu bapa perlu patuh janji temu dos kedua anak remaja

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan kepada semua ibu bapa dan penjaga untuk mematuhi janji temu dos kedua vaksinasi anak remaja, supaya mereka dilindungi daripada jangkitan COVID-19.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, bagi ibu bapa yang terpaksa menjadualkan janji temu dos kedua, mereka boleh hubungi pihak sekolah supaya janji temu baharu dapat diberikan.

“Ibu bapa yang tidak dapat hadir, dimohon mewakilkan seorang individu dewasa bagi mengiringi anak-anak untuk menerima vaksin COVID-19 dengan mengisi Surat Perwakilan Ibu Bapa atau Penjaga yang boleh didapati daripada pihak sekolah anak masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak memastikan anak remaja menerima dos kedua, risiko untuk kumpulan ini dijangkiti COVID-19 adalah lebih tinggi berbanding mereka yang telah menerima dos lengkap.

“Situasi ini pastinya akan memberi kesan kepada pembukaan semula sekolah dan juga pembukaan semula sektor ekonomi di seluruh negara,” ujarnya.

Menurut Dr Noor Azmi, beliau memahami ada dalam kalangan ibu bapa yang bimbang anak akan mendapat kesan sampingan seperti alahan.

“Walau bagaimanapun, ingin saya tekankan bahawa kesan sampingan yang serius adalah amat jarang berlaku dan dengan rawatan awal, remaja akan pulih sepenuhnya,

“Oleh itu, saya memohon ibu bapa untuk mengiringi anak-anak ke janji temu vaksinasi yang telah ditetapkan demi melindungi anak-anak remaja,” jelasnya.

Tambahnya, walau pun sektor ekonomi dan sosial telah dibuka semula dan keadaan semasa semkain bertambah baik, ibu bapa harus sedar bahawa risiko jangkitan COVID-19 masih tinggi lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang belum melengkapkan vaksinasi.

Sehingga 3 November, seramai 2,622,306 remaja telah menerima dos 1 vaksin COVID-19 dan 2,197,961 pula dos 2.

Negeri yang mempunyai pencapai dos 2 tertinggi adalah Melaka sebanyak 88.6 peratus; Perlis (87.8%); Pulau Pinang (83.7%); Kedah (81%) dan Terengganu (80.9%).

“Walau bagaiamanapun sejak seminggu lalu, KKM mendapat terdapat remaja yang tidak memenuhi atau menghadiri janji temu dos kedua seperti ditetapkan,

“Mengikut unjuran, kadar vaksinasi dos kedua bagi remaja sepatutnya mencapai 80 peratus pada 11 November ini,

“Berdasarkan pemantauan unjuran janji temu dos kedua yang terkini, sasaran ini hanya akan tercapai pada akhir November atau awal bulan Disember 2021,” katanya lagi. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!