Home Politik Agong perkenan tamatkan darurat di Sarawak

Agong perkenan tamatkan darurat di Sarawak

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, perkenan Seri Paduka Baginda terhadap penamatan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ini selaras dengan Perkara 40 dan 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Perlu diperjelaskan di sini bahawa Berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Azuan Effendy, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud untuk menamatkan darurat di negeri itu, semalam.

“Pada hari ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra Kabinet di Istana Negara,

“Pada sesi menghadap yang berlangsung selama 1 jam bermula pada jam 8 pagi, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima sembah nasihat daripada Perdana Menteri berhubung dengan penamatan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak,” katanya.

Semalam, Baginda turut berkenan menerima menghadap Peguam Negara, Tan Sri Idrus Aizan Harun bagi menyembah taklimat berhubung dengan perkara yang sama.

Turut hadir menghadap, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad.

“Maka setelah menimbang permohonan Yang Dipertua Negeri Sarawak dan memperhalusi sembah nasihat Perdana Menteri, sembah taklimat Peguam Negara serta pandangan ketua-ketua agensi kerajaan berkenan, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan,” jelasnya.

Sementara itu, Azuan Effendy berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan COVID-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan.

“Pada hemat Seri Paduka Baginda, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman COVID-19 dan penularan wabak ini juga masih ditahap yang membimbangkan,

“Perkenan Seri Paduka Baginda kepada penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit,” tegasnya.

Tegas Azuan Effendy, Baginda perkenan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

“Sesungguhnya, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi serta politik,” ujarnya lagi. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply