Home Ekonomi Pemulihan, daya tahan ekonomi penting untuk pengukuhan simpanan persaraan – KWSP

Pemulihan, daya tahan ekonomi penting untuk pengukuhan simpanan persaraan – KWSP

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 30 Okt – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyuarakan sokongan terhadap langkah-langkah Kerajaan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2022 ke arah menggalakkan pemulihan ekonomi, peningkatan mata pencarian serta memacu peluang pekerjaan.

“Ini memberi ruang kepada rakyat Malaysia untuk membina semula dana persaraan mereka,” kata KWSP dalam satu kenyataan.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bahawa sumbangan daripada Kerajaan sebanyak 15 peratus sehingga jumlah maksimum RM250 untuk setiap ahli secara tahunan untuk i-Saraan, akan diperluaskan kepada individu yang berumur antara 55 hingga 60 tahun.

i-Saraan merupakan program caruman sukarela dengan insentif kepada individu yang bekerja sendiri dan pekerja sektor tidak formal bagi membuat simpanan persaraan.

“Sehingga kini, seramai 356,791 orang ahli KWSP telah berdaftar di bawah program tersebut,” kata kenyataan itu.

Dalam pembentangan yang sama, kerajaan turut memutuskan untuk melanjutkan kadar minimum caruman berkanun syer pekerja pada kadar sembilan (9) peratus untuk enam bulan tambahan mengambil kira cabaran ekonomi semasa yang dihadapi oleh ahli.

Pelanjutan kadar tersebut bermula daripada gaji bulan Januari 2022 (caruman bulan Februari 2022) hingga gaji bulan Jun 2022 (caruman bulan Julai 2022) dan ahli boleh memilih keluar (opt out) sekiranya tidak mahu mengekalkan kadar ini. Selepas tempoh itu, kadar minimum caruman berkanun syer pekerja akan kembali pada 11 peratus.

“Langkah untuk melanjutkan kadar caruman berkanun pada sembilan peratus sehingga pertengahan 2022 dijangka memberi kelegaan kepada ahli untuk meningkatkan jumlah gaji yang dibawa pulang dan mengurangkan beban kewangan yang dihadapi,

“KWSP juga menerima baik keputusan Kerajaan untuk memperluaskan had umur bagi menerima insentif i-Saraan kerana ini dapat menggalakkan lebih ramai individu yang bekerja sendiri dan pekerja sektor tidak formal untuk membuat simpanan persaraan dengan KWSP,

“Mereka yang bekerja sendiri dan pekerja gig juga diberi pelepasan cukai sehingga RM4,000 untuk caruman KWSP secara sukarela,

“Ini selaras dengan matlamat KWSP untuk menggalakkan pekerja gig dan sektor tidak formal menyertai skim KWSP bagi menjamin masa depan persaraan mereka,” Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Caruman Sukarela Insentif Suri atau i-Suri yang membolehkan suri rumah dan balu untuk menabung dengan KWSP akan disepadukan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan dijenamakan semula sebagai ‘Kasih Suri Keluarga Malaysia’.

Inisiatif ini memberi peluang kepada suri rumah dan balu yang berdaftar di bawah sistem eKasih untuk mendapat akses kepada keselamatan sosial. eKasih ialah sistem pangkalan data bersepadu peringkat kebangsaan untuk isi rumah miskin yang membantu dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan program pembasmian kemiskinan.

Datuk Seri Amir Hamzah berkata bahawa KWSP turut menyambut baik langkah-langkah perlindungan sosial yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 termasuk bantuan insurans, takaful, perubatan serta sokongan yang diberi kepada kanak-kanak dan warga emas.

“Langkah-langkah ini dapat membantu mengatasi kekurangan dalam sistem perlindungan sosial negara bagi golongan masyarakat rentan dalam memastikan mereka mencapai taraf hidup yang minimum walaupun dalam persekitaran yang tidak terduga,

“Memandangkan liputan KWSP merangkumi hampir separuh daripada penduduk Malaysia, pihak kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan agensi berkaitan ke arah mencapai kesejahteraan sosial untuk ahli pendekatan yang telus, inklusif dan selaras dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’,” katanya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply