WASHINGTON, 30 Ogos – Taliban menegaskan kesemua warga asing dan Afghanistan yang mempunyai kebenaran perjalanan dibenarkan keluar dari negara itu dengan selamat.
Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam satu kenyataan bersama dengan lebih 100 buah negara berkata, pihak Taliban telah memberi jaminan keselamatan kepada warga asing termasuk Amerika Syarikat, negara NATO, Jepun dan Korea Selatan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.
Sehingga berita ini ditulis, tiada negara rantau Asia Tenggara (ASEAN) tersenarai.
Pada masa yang sama, negara-negara terbabit telah berjanji untuk mengeluarkan dokumen perjalanan kepada warga Afghanistan yang telah dikenal pasti.
“Kita mendapat petunjuk yang jelas serta komitmen dari Taliban mengenai perjalanan ke negara-negara terlibat,” kata kenyataan itu.
Amerika Syarikat dan negara-negara di bawah naungan misi ISAF akan berundur sepenuhnya dari Afghanistan pada 31 Ogos ini.
Pengunduran tersebut telah mencetuskan kekacauan di Afghanistan apabila rakyat tempatan berebut untuk mendapatkan penerbangan keluar dari negara itu selepas Kabul dikuasai Taliban pada 15 Ogos lalu.
Proses evakuasi warga Afghanistan secara bersasar dan warga asing di negara itu telah dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai.
Proses evakuasi tersebut terjejas berikutan serangan pengebom bunuh diri yang didalangi oleh Daesh – Khorasan (Daesh-K) pada minggu lalu. – airtimes.my