Home Semasa Ismail Sabri angkat sumpah Perdana Menteri ke-9

Ismail Sabri angkat sumpah Perdana Menteri ke-9

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara rasmi diangkat menjadi Perdana Menteri ke-9 hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara, pada jam 2.30 petang.

Pelantikan Naib Pengerusi UMNO itu, dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bermula jam 2.30 petang di Istana Negara, pada Jumaat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan semalam berkata, pencalonan bakal Perdana Menteri telah dibuat menerusi surat-surat akuan daripada semua Ahli Parlimen dengan tujuan untuk membantu Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-Ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (Statutory Declaration) pada 18 Ogos lalu,

“Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,

“Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,” tambahnya.

Turut menyaksikan istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.- -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply