Home Semasa Kementerian Pertahanan pertingkat sistem keselamatan siber

Kementerian Pertahanan pertingkat sistem keselamatan siber

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kementerian Pertahanan meningkatkan sistem keselamatan siber bagi menangkis sebarang insiden yang tidak diingini berlaku terutamanya melibatkan penggunaan media sosial.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Muez Abdul Aziz berkata, sebanyak 3,647 laporan insiden keselamatan siber telah dilaporkan sepanjang 4 bulan pertama tahun ini.

Menurutnya, insiden itu melibatkan penipuan dalam talian, pencerobohan, kod jahat, gangguan siber dan akibatnya, Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menerima kesannya.

“Oleh itu, kita telah meningkatkan sistem keselamatan dan hanya sumber yang berautoriti sahaja dibenarkan untuk memuat naik bahan yang telah diluluskan di media sosial milik Kementerian Pertahanan,” katanya ketika menyampaikan ucapan Pemerkasaan Media Sosial Rasmi Kementerian Pertahanan yang disiarkan secara maya, hari ini.

Muez menegaskan, setiap maklumat yang disampaikan perlu terlebih dahulu melalui tapisan keselamatan dan mendapat kelulusan bagi memastikan yang dimuat naik itu adalah tepat, sahih dan benar.

“Adalah penting setiap maklumat yang dimuat naik perlu terlebih dahulu melalui tapisan keselamatan dan mendapat kelulusan bagi memastikan ia tepat, sahih dan benar,

“Trend perkongsian dan penyebaran maklumat kini semakin meluas membuatkan lebih mudah terdedah kepada isu-isu keselamatan, ketirisan maklumat, perkongsian berita palsu serta penyebaran sumber yang kurang tepat dan sahih,” ujarnya.

Menurutnya, ia dibuat untuk memastikan sistem keselamatan terjaga daripada sebarang ancaman siber yang semakin meningkat pada masa kini.

Beliau turut menasihatkan warga Kementerian Pertahanan dan ATM agar menyemak segala fakta dan berhati-hati dalam penyebaran sebarang maklumat memandangkan organisasi itu mempunyai isu sensitif melibatkan aset dan sebagainya.

“Kementerian Pertahanan dan ATM mempunyai isu-isu sensitif melibatkan aset dan sebagainya. Kita amat digalakkan supaya menyemak segala fakta dan berhati-hati dalam penyebaran sebarang maklumat,

“Sebarang ketidakpastian maklumat hendaklah dirujuk kepada kementerian atau pasukan yang bertanggungjawab memandangkan trend penyebaran berita palsu menggunakan media sosial agak meruncing,

“Suka saya ingatkan, sebagai penjawat awam dan ATM kita tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 serta Akta Angkatan Tentera 1972,

“Dari itu, elakkan terjebak dengan penularan berita palsu sama ada melalui aplikasi WhatsApps, SMS mahupun komen negatif di media sosial yang boleh memudaratkan diri dan perkhidmatan,” tambahnya.

Tambahnya, kementerian tidak akan berkompromi, malah mengambil tindakan sewajarnya ke atas warganya yang terlibat.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan media sosial rasmi Kementerian Pertahanan telah berperanan penting dalam penyebaran maklumat kerajaan sepanjang negara berdepan isu pandemik COVID-19,

“Sebagai sebuah organisasi keselamatan, kementerian menyokong penuh setiap usaha dan langkah diambil kerajaan dalam hal penyebaran maklumat,

“Selain itu, kita juga tidak hanya memfokuskan kepada penyebaran COVID-19 semata-mata, bahkan peranan media sosial kita lebih menyeluruh dengan menjadi salah satu sumber penyampaian aktiviti kementerian, ATM dan agensi di bawahnya,”jelasnya lagi.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply