Home Semasa Agong isytihar darurat di Sarawak hingga Februari 2022

Agong isytihar darurat di Sarawak hingga Februari 2022

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 31 Jul – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak berkuatkuasa pada 2 Ogos 2021 hingga 2 Feb 2022.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Jemaah Menteri menerusi mesyuarat pada 21 Jul 2021 bersetuju untuk menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar memperkenankan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak yang akan berakhir pada 1 Ogos ini.

“Sehubungan itu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan kerajaan negeri memperkenankan Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak,

“Dengan Proklamasi Darurat ini, Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak (PRN) tidak akan diadakan sepanjang tempoh tersebut, kecuali jika ianya ditamatkan lebih awal,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu.

Namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.

Terdahulu, Warta Kerajaan Persekutuan menyebut ordinan berkenaan akan terhenti berkuatkuasa pada 2 Ogos menurut Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Jan, di mana PRN dikehendaki diadakan dalam tempoh 60 hari dari 2 Ogos mengikut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply