Home Pertahanan dan Keselamatan Negara dan rakyat terhutang budi kepada pengorbanan pahlawan negara – Ismail Sabri

Negara dan rakyat terhutang budi kepada pengorbanan pahlawan negara – Ismail Sabri

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 31 Jul – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara dan rakyat amat terhutang budi kepada semua pahlawan negara kerana apa yang dinikmati pada hari ini tidak akan dapat kita capai tanpa pengorbanan mereka sejak sebelum merdeka hingga kini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian sempena Hari Pahlawan 2021 hari ini menerusi media sosialnya.

“Alhamdulillah hari ini tanggal 31 Julai 2021, merupakan Hari Pahlawan yang disambut setiap tahun bagi mengenang jasa pahlawan negara yang tiada titik noktahnya,

“Tidak kira di darat, laut mahupun di awan biru, pahlawan kita terus bersiapsiaga mempertahankan ibu pertiwi dan sanggup melakukan pengorbanan tertinggi demi kedaulatan negara serta rakyat tercinta,

“Jasa dan pengorbanan kalian akan terpahat dalam sebuah sejarah yang abadi,” katanya.

Katanya, bukan peluru yang menjadi senjata utama, tetapi tubuh badan pahlawan yang berbekalkan semangat yang amat besar serta jiwa mereka yang ikhlas dan berani semata-mata untuk mendapatkan keamanan tanah air.

“Mereka berjuang tanpa rasa takut dan tidak ada satu titik pun untuk menyerah kalah,

“Perjuangan para pahlawan kita sama ada pada era sebelum merdeka, mahupun pasca merdeka, terus menjadi titik tolak lembaran sejarah negara yang kita sayangi ini,” ujarnya -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply