Home Semasa Pembatalan Ordinan Darurat: Agong amat dukacita, belum diperkenan

Pembatalan Ordinan Darurat: Agong amat dukacita, belum diperkenan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 29 Jul – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan yang membatalkan semua Ordninan Darurat, walhal pembatalan belum lagi diperkenankan baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertungjangkan prinsip keluhuran perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dipersetujui terdahulu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Takiyuddin pada 26 Julai lalu adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat,

“Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai lalu telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen,

“Kenyataan tersebut bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Umum Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Tambah Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah sedia maklum akan perlunya baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa selaku Ketua Umum Negara, baginda mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak,

“Khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik COVID-19 ini. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply