Home Semasa Kepincangan, kecuaian batal 6 ordinan darurat, petanda sebuah kerajaan gagal – Lim Guan Eng

Kepincangan, kecuaian batal 6 ordinan darurat, petanda sebuah kerajaan gagal – Lim Guan Eng

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Jul – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja telah menghina Parlimen secara terbuka tetapi juga gagal menghormati prinsip Rukunegara dalam Kedaulatan Undang-Undang setelah membatalkan Ordinan Darurat yang menimbulkan kekeliruan rakyat, semalam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut mempersoalkan sama ada denda terhadap kesalahan ordinan darurat yang dikeluarkan sebelum ini masih sah selepas 21 Julai lalu apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung Proklamasi Darurat selepas 1 Ogos 2021.

“Tidak ada kenyataan bertulis yang jelas dikeluarkan bagi menyatakan 6 Ordinan Darurat yang telah dibatalkan, bersama dengan warta persekutuan yang perlu dibentangkan di Parlimen sebagaimana yang dikehendaki di bawah Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan,

“Sebaliknya, pihak pembangkang terpaksa memaksa kerajaan untuk memberikan maklumat tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kepincangan dan kecuaian dalam tatacara pembatalan 6 ordinan darurat yang menimbulkan kekeliruan rakyat adalah satu lagi petanda sebuah kerajaan gagal.

“Kepincangan dan kecuaian dalam tatacara pengumuman penting ini menunjukkan ketidakcekapan kerajaan dan bahawa ia didorong oleh pertimbangan politik semata-mata,

“Darurat yang diisytiharkan pada 12 Januari jelas merupakan penyalahgunaan kuasa oleh PN yang dilakukan bukan untuk menangani pandemik COVID-19, tetapi untuk memastikan survival politik mereka sendiri setelah kehilangan majoriti Parlimen,

“Ini dibuktikan oleh tsunami kes COVID-19 dalam tempoh darurat yang melebihi 1 juta kes secara kumulatif pada 25 Julai dan rekod tertinggi 207 kematian pada 26 Julai menjadikan jumlah kematian melebihi 8,000,

Menurutnya, keengganan kerajaan untuk menjernihkan kekeliruan ini akan memberi banyak implikasi praktikal dalam pentadbiran kerajaan kerana Ordinan Darurat ini masih mempunyai keberkesanan undang-undang.

“Persoalan terbesar adalah keabsahan perundangan bagi 2,200 kompaun yang dikeluarkan terhadap individu antara 21 Julai dan 25 Julai lalu,

“Ordinan Darurat telah digunakan untuk menaikkan hukuman maksimum terhadap pelanggaran sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu dan dari RM10,000 kepada RM50,000 untuk badan korporat,

Pada masa yang sama, Guan Eng menggesa kerajaan agar mengarahkan pihak berkuasa untuk kembali menggunakan kompaun maksimum sebelum ini serta mengembalikan wang kepada mereka yang telah membayar melebihi jumlah tersebut untuk kompaun yang dikeluarkan selepas 21 Julai.

Semalam, Takiyuddin memaklumkan kepada Dewan Rakyat, bahawa kerajaan telah membatalkan 6 Ordinan Darurat bermula 21 Julai lalu.

Takiyuddin juga mengumumkan, kerajaan tidak akan menasihati Al-Sultan Abdullah untuk meneruskan Proklamasi Darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos 2021. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply