Home Semasa COVID-19: Kadar penerima vaksin negara antara tertinggi di Asia Tenggara

COVID-19: Kadar penerima vaksin negara antara tertinggi di Asia Tenggara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Jul – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencatat kemajuan memberangsangkan apabila kadar pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 di Malaysia kini melepasi purata negara-negara di Asia.

Ia berdasarkan data portal statistik Our World in Data yang menunjukkan Malaysia telah melebihi Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam sehingga awal bulan Julai.

Malaysia telah mencatatkan kadar vaksinasi lengkap yang tinggi berbanding negara jiran.

Menurut statistik itu, sejumlah 10.24 peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia sudah menerima dos vaksin lengkap sehingga 9 Julai lalu. Manakala Indonesia sebanyak 5.44 peratus dan Vietnam pula 0.27 peratus.

Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) melaporkan, sebanyak 324,745 dos suntikan vaksin COVID-19 diberikan semalam, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin di seluruh negara kini 11,075,493 dos.

JKJAV berkata, sebanyak 213,971 daripada jumlah pemberian vaksin COVID-19 semalam, adalah dos pertama, manakala 110,774 pula dos kedua.

5 negeri mencatatkan pemberian vaksin tertinggi semalam ialah Selangor dengan 78,081 dos, diikuti Sarawak (62,241), Kuala Lumpur (46,695), Perak (24,067) dan Negeri Sembilan (19,563).

Jumlah keseluruhan pemberian vaksin COVID-19 dos pertama ialah 7,649,848 dan dos kedua 3,425,645, sehingga semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menjelaskan, kadar vaksinasi dos pertama negara ini adalah antara yang tertinggi di Asia Tenggara.

Beliau berkata, pencapaian ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana bekalan vaksin adalah di luar kawalan pihaknya.

Muhyiddin menjelaskan, sasaran agar 80 peratus populasi Malaysia diberikan suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini, akan tercapai. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply