Home Semasa Kedai makan kini boleh dibuka 6 pagi hingga 10 malam – Ismail Sabri

Kedai makan kini boleh dibuka 6 pagi hingga 10 malam – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Kerajaan mengumumkan premis menjual makanan kini boleh dibuka bermula jam 6 pagi sehingga 10 malam berkuat kuasa esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi premis kedai makan dan restoran sebelum ini hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.

“Selepas mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan, sidang mesyuarat bersetuju untuk menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuatkuasa 28 Jun 2021,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan semasa pelaksanaan PKP, hari ini.

Selain itu, beliau turut menjelaskan, Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh dikekalkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga 3 indikator nilai ambang utama dicapai iaitu catatan purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes.

Manakala kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada paras sederhana serta kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima 2 dos lengkap mencapai 10 peratus.

“Justeru, peralihan daripada Fasa 1 ke Fasa 2 akan mengambil kira ketiga-tiga indikator itu sebelum ia diputuskan. Secara keseluruhan, PPN adalah strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik COVID-19 yang merangkumi 4 fasa melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat,

“Berdasarkan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan akan mengekalkan lagi tempoh Fasa 1 di seluruh negara seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum disahkan hari ini,

“Ia mengambil kira situasi semasa ketika ini yang masih belum berjaya untuk beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 apabila graf jumlah kes positif baharu harian menunjukkan trend mendatar,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply