Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara TUDM terbangkan 2,500 bakul makanan ke Labuan

TUDM terbangkan 2,500 bakul makanan ke Labuan

by Nurulhuda

SUBANG, 24 Jun – Sebanyak 2,500 unit bakul makanan diterbangkan Labuan untuk disalurkan kepada penduduk yang terkesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikawasan berkenaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 14,000 bakul makanan yang dipersetujui dalam mesyuarat yang melibatkan kementeriannya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan baru-baru ini.

“Saya berharap agar penduduk di Labuan yang ramai terkesan disebabkan COVID-19 dapat terus bersabar. Kita akan terus membantu sedaya upaya supaya mereka juga akan mendapat manfaat daripada bakul makanan yang kita bagi hari ini,

“Untuk permulaan, KPWKM cuba melengkapi apa yang telah pun dihantar oleh pihak Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum ini,

“Baki bakul makanan berjumlah 11,500 unit pula akan dihantar menggunakan kaedah pengangkutan laut pada Sabtu ini. Sebab itu dalam menangani isu ini kita perlu bersama dan bekerjasama dengan pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi lain akan kita teruskan,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

Terdahulu, Rina telah meninjau proses penghantaran 2,500 unit bakul makanan daripada KPWKM yang diterbangkan menggunakan pesawat TUDM di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Munurutnya, penghantaran bakul makanan itu juga merupakan antara usaha di bawah Pelan Pemulihan Negara untuk mengurangkan beban hidup penduduk Labuan yang dikenakan PKPD sejak 28 Mei lepas bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 di pulau tersebut.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyelaraskan sekiranya ada permintaan khusus contohnya lampin pakai buang, susu bayi dan sebagainya,

“Saya mengucapkan terima kasih kerana bakul makanan ini diterbangkan dengan penerbangan ihsan TUDM dan kami pertama kali bekerjasama dengan pihak TUDM,” tambahnya.

Sementara itu, TUDM dalam kenyataan berkata, misi penerbangan 20 tan bekalan makanan asas itu telah diterbangkan oleh Mejar In’Amul Hassan Shuhaimy TUDM bersama Kapten Syahmi Nazri TUDM dan Kapt Wan Ubaidullah Wan Hanapi TUDM selaku juruterbang.

Menurutnya, pesawat tersebut telah diterbangkan dari Pangkalan Udara Subang pada jam 9.00 pagi tadi dan selamat tiba di Pangkalan Udara Labuan jam 11.30 pagi.

“Bekalan keperluan makanan asas yang dihantar ini akan diagihkan kepada kira-kira 13,800 keluarga melibatkan 8 lokaliti yang dikenalpasti sebagai berisiko tinggi di Labuan,

“Penerbangan kali ini turut membawa peralatan perubatan COVID-19 daripada KKM dan Institut Perubatan Penerbangan (IPP) serta barangan peralatan bagi Hospital Medan ATM,” jelas pihak TUDM. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply