Home Pertahanan dan Keselamatan Persidangan FDCC perkukuh komitmen, prinsip asas peraturan pertahanan

Persidangan FDCC perkukuh komitmen, prinsip asas peraturan pertahanan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Panglima angkatan tentara bagi negara Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) bersetuju untuk memperkukuhkan komitmen serta prinsip-prinsip kepada peraturan pertahanan.

Kesemua ketua angkatan tentera bagi negara FPDA telah menghadiri persidangan Defence Chiefs’ Conference (FDCC) ke-20 yang dianjurkan oleh Malaysia secara maya ini telah dipengerusikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM, semalam.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan berkata, persidangan FDCC yang dianjurkan secara bergilir-gilir oleh Malaysia dan Singapura adalah merupakan forum profesional ketenteraan peringkat tertinggi di dalam FPDA.

“Kali terakhir persidangan ini dianjurkan adalah pada tahun 2019 di Singapura,

“Ianya menyediakan platform untuk PAT negara FPDA berdialog serta bertukar pendapat mengenai isu-isu berkaitan pembangunan kapasiti dan keselamatan serantau,” kata kenyataan, hari ini.

Selain menekankan kepentingan FPDA sebagai peraturan pertahanan yang konstruktif dan telus. PAT negara FPDA juga bersetuju bahawa aspek ketelusan perlu diteruskan melalui program pemerhati yang memberi peluang kepada negara serantau dalam memahami setiap pelaksanaan latihan dan aktiviti FPDA.

“Selain memperkukuhkan latihan ketenteraan dalam peperangan konvensional,

“Persidangan kali ini bersetuju agar FPDA meneruskan pembangunan keupayaan peperangan bukan konvensional selari dengan cabaran keselamatan semasa,

“Usaha ini adalah bagi memastikan FPDA kekal relevan dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau,” tambahnya.

Antara perkara yang dibentangkan di persidangan ini adalah berkenaan dengan FPDA Exercise Concept Directive 2021 dan perbincangan mengenai rancangan 10 tahun pembangunan FPDA.

Sempena ulang tahun ke-50 FPDA, rancangan pembangunan yang dibentangkan akan menjadi panduan kepada pelaksanaan aktiviti dan latihan ketenteraan untuk meningkatkan keupayaan dalam melaksanakan operasi konvensional dan bukan konvensional.

“Penganjuran eksesais bersama SHIELD 2021 (BS21) secara maya di Kuantan pada April lalu adalah bukti terbaik komitmen dan kerjasama FPDA dalam melaksanakan latihan dalam situasi yang mencabar,” jelas kenyataan itu.

PAT negara FPDA turut diberi taklimat berkenaan aspek keselamatan persekitaran serantau dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP), aktiviti atau latihan yang telah diadakan pada tahun 2019 dan 2020 serta isu berkaitan pembangunan Headquarters Integrated Area Defence System (HQIADS) oleh Komander HQIADS, Air Vice Marshal, Geoffrey Harland.

Persidangan turut mengambil maklum mengenai keperluan FPDA untuk menjadi lebih fleksibel dan meningkatkan ketahanan dalam menghadapi pandemik COVID-19 agar setiap aktiviti serta latihan ketenteraan dijalankan adalah dalam persekitaran yang selamat.

“Persidangan FDCC ke-20 dilaksanakan secara maya selari dengan dasar dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19,

“Kaedah ini juga mempamerkan komitmen negara anggota untuk meneruskan aktiviti FPDA walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19,” ujar kenyataan itu.

Di akhir sesi persidangan, PAT negara FPDA menyatakan penghargaan di atas kejayaan penganjuran FDCC ke-20 serta menantikan sambutan penubuhan Jubli Emas FPDA ke-50 pada tahun ini.

Turut hadir, PAT Australia, Jen Angus Campbell, PAT New Zealand, Air Marshal Kevin Short, PAT Singapura, Lt Jen Melvyn Ong Su Kiat dan Timbalan PAT United Kingdom, Admiral Sir Tim Fraser. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply