Home Semasa Total lockdown: Surat, permit pergerakan sah sehingga 28 Jun ini

Total lockdown: Surat, permit pergerakan sah sehingga 28 Jun ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Surat atau permit kebenaran pergerakan yang tamat tempoh pada 14 Jun 2021, masih diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau total ‘lockdown‘ pada 28 Jun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, bagi tujuan penyelarasan penguatkuasaaan kawalan pergerakan di sekatan jalan raya (SJR), PDRM akan terus menerima surat atau permit yang dikeluarkan 12 kementerian dan agensi dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kementerian dan agensi yang mengeluarkan surat atau permit pergerakan adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kementerian Pengangkutan; Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM),

“Selain itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Bank Negara Malaysia (BNM); Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan PDRM,” katanya semasa Rangkuman Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), PKP pada Sabtu.

Pada masa sama, Hamzah mengingatkan orang ramai untuk tidak memalsukan atau memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan surat atau permit pergerakan daripada pihak berkuasa.

Sementara itu, Hamzah berkata, hampir 1,000 sekatan jalan raya dijalankan PDRM antara 1 Jun hingga semalam selain telah menutup 129 jalan kecil yang dikenal pasti menjadi laluan alternatif orang awam untuk melanggar larangan rentas negeri dan daerah.

Hamzah turut menjelaskan, PDRM telah mengeluarkan sejumlah 9,808 kompaun dan melakukan 542 tangkapan atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP bagi tempoh sama.

Tambahnya, kementerian itu, melalui agensi penguatkuasaannya akan meneruskan penguatkuasaan pemantauan terhadap SOP sepanjang lanjutan sekatan pergerakan penuh yang dijadualkan sehingga 28 Jun ini. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply