Home Semasa PKP 3.0: Sektor ekonomi, sosial diperketatkan – PM

PKP 3.0: Sektor ekonomi, sosial diperketatkan – PM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju memperketatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan menambah sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan berkata, perincian mengenai sekatan tambahan berkenaan akan diumumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, esok.

Muhyiddin berkata, sidang khas ini turut melibatkan kerajaan negeri bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk mengekang penularan COVID-19.

“Mesyuarat telah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung status terkini kes COVID-19 termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19,

“Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka,

“Namun begitu, penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang,” katanya.

Sehubungan itu, sidang khas pada hari ini, sebulat suara bersetuju mengetatkan lagi pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuatkuasa dengan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Sehingga hari ini, sebanyak 6,493 kes baharu COVID-19 dilaporkan oleh KKM dan ia menjadikan jumlah kumulatif pesakit wabak berkenaan di dalam negara meningkat kepada 498,795 kes.

Selain itu, KKM turut mengesahkan sebanyak 50 kes kematian direkodkan dan pengesanan 18 kluster baharu pada hari ini. -airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply