Home Semasa PH Johor desak Kerajaan Persekutuan tamatkan darurat, buka Parlimen

PH Johor desak Kerajaan Persekutuan tamatkan darurat, buka Parlimen

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 21 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Johor mencadangkan agar kerajaan negeri dapat membahaskan dan mendesak Kerajaan Persekutuan menamatkan segera darurat supaya Parlimen serta DUN dapat bersidang semula.

Pakatan Harapan (PH) Johor berkata, langkah tersebut perlu dilaksanakan agar institusi demokrasi iaitu Parlimen dan DUN dapat bersidang semula bagi membincangkan ekonomi rakyat serta negara.

“Tiba masanya Kerajaan Persekutuan menerapkan tadbir urus yang inklusif secara dwipartisan dalam memerangi wabak pandemik bersama-sama kerajaan negeri, Ahli Parlimen, ADUN serta rakyat secara menyeluruh,

“Sehubungan itu, PH Johor memohon Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad untuk mempertimbangkan agenda ini bagi dibahaskan dalam sebuah mesyuarat seperti yang dititahkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar demi nyawa dan ekonomi rakyat, khasnya Bangsa Johor,

“Kita semua menginsafi dan bertekad untuk terus bersama-sama dalam menghadapi pandemik yang kian kritikal ini,” katanya dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Pengerusi Amanah, Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Chin Tong.

Selain itu, PH Johor turut mencadangkan agar ujian saringan secara besar-besaran diadakan di negeri itu bagi mengatasi penularan wabak yang serius dalam komuniti berkenaan.

“Ahli Parlimen dan ADUN Johor perlu membahaskan perancangan untuk memperluaskan kempen kesedaran vaksinisasi kepada warga Johor dan mencapai angka pendaftaran sekurang-kurangnya 70 peratus daripada keseluruhan mereka yang layak,

“Pakej rangsangan ekonomi tambahan juga perlu dibahaskan di negeri Johor bagi membantu mereka yang terkesan ketika perintah darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,

“Kerajaan Johor juga perlu mendesak agar kerajaan Malaysia dan Singapura menyegerakan perancangan pembukaan sempadan selepas keadaan lebih stabil untuk memulihkan ekonomi negeri ini setelah kian lama terjejas akibat krisis wabak pandemik COVID-19,” tambahnya.

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor mengadakan mesyuarat bagi membincangkan penularan wabak COVID-19 dan kesannya kepada penduduk negeri berkenaan.

Baginda di dalam kenyataan bertitah, semua anggota Parlimen dan ADUN Johor perlu berperanan dalam membendung penularan wabak dan membantu mereka yang terkesan.

Menurut kenyataan tersebut, Baginda menyeru agar satu perbincangan secara pemesyuaratan diadakan di kalangan semua Ahli Parlimen dan ADUN di Johor dengan dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply