Home Semasa Ada gerakan lantik Ketua Pengarah JAKOA bukan daripada Orang Asli – Ramli

Ada gerakan lantik Ketua Pengarah JAKOA bukan daripada Orang Asli – Ramli

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor mendakwa ada gerakan yang mahukan jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) diberikan kepada individu yang bukan berketurunan Orang Asli.

Ramli berkata, jawatan ini pada dasarnya akan diberi keutamaan untuk di sandang oleh seorang rakyat Malaysia berketurunan Orang Asli Semenanjung Malaysia yang berkelayakan.

“Telah sampai maklumat ke pengetahuan saya bahawa ada gerakan oleh para pegawai dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mencatur dan berusaha agar jawatan tersebut tidak di sandang oleh rakyat Malaysia berketurunan Orang Asli Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebagai wakil rakyat tunggal berketurunan Orang Asli Semenanjung Malaysia di Parlimen yang dilantik oleh suara rakyat selepas 64 tahun Malaysia merdeka dengan ini mengutuk dan menentang sama sekali usaha dan gerakan Little Napolean birokrasi kerajaan didalam KPLB.

“Saya menyarankan mereka ini agar lebih menumpukan kepada tugas hakiki mereka sebagai pegawai kerajaan, iaitu melaksanakan dan memantau semua dasar kerajaan agar sampai objektifnya bagi kesejahteraan masyarakat Orang Asli sebagaimana termaktub di dalam perkara 8(5)c Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan bukan bermain politik,

“Dengan ini juga saya mengambil kesempatan mengingatkan pepegawai kerajaan bahawa dengan jelas isi kandungan perkara 8(5)c Perlembagaan Persekutuan Malaysia berkaitan Quota didalam perkhidmatan Awam Malaysia wajib diberi kepada masyarakat Orang Asli Malaysia yang berkelayakan termasuk lah jawatan Ketua Pengarah JAKOA,” jelasnya.

Sebelum ini, jawatan tersebut disandang oleh Prof Dr. Juli Edo yang merupakan seorang Orang Asli Semenanjung Malaysia telah menamatkan kontraknya pada April lepas.

Beliau juga menyarankan dan menegaskan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersikap adil dan saksama di dalam pelantikan jawatan Ketua Pengarah JAKOA Malaysia.

“Kerajaan PN juga perlu prihatin terutama dalam menyelesaikan isu-isu pembangunan masyarakat Orang Asli yang masih tertunggak dan ketinggalan jauh dalam perlaksanaan,

“Isu-isu teras seperti pembangunan sosiol ekonomi, pendidikan, kesihatan, pengwartaan tanah Orang Asli atau tanah adat dan kebajikan am untuk masyarakat Orang Asli masih lagi ketinggalan jauh berbanding masyarakat majmuk Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menyarankan supaya agensi perlaksanaan JAKOA diperkukuhkan dari segi penstrukturan organisasi agar penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa berlaku ketirisan dan pembaziran peruntukan kewangan rakyat. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply