Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: ATM bantu KKM laksana pengoperasian ICU medan di Hospital Kepala Batas

COVID-19: ATM bantu KKM laksana pengoperasian ICU medan di Hospital Kepala Batas

by Nurulhuda

KEPALA BATAS, 19 Mei – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Markas Kedua Infantri Malaysia (2 Div) telah diaturgerak bagi membina Unit Rawatan Rapi (ICU) medan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.

Markas 2 Div dalam hantaran di media sosialnya berkata, pasukan 2 Batalion Perubatan (2 Bn Ubat) telah ditugaskan bagi membantu pengoperasian ICU medan yang dibina untuk menampung peningkatan kes-kes kritikal yang semakin mendadak sehingga menyebabkan kesiagaan fasiliti kesihatan negara telah melebihi kapasiti sedia ada.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memohon bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu menyediakan ICU medan bagi menampung keperluan kritikal di negeri tersebut,

“Kapasiti katil ICU di negeri Pulau Pinang yang telah mencapai tahap maksima dan memerlukan bantuan segera menjadikan Hospital Kepala Batas yang merupakan hospital rawatan COVID-19 telah dipilih untuk dijadikan lokasi pembinaan ICU medan ATM bagi merawat pesakit kritikal COVID-19 di negeri ini,

“ICU medan ini berkemampuan untuk menempatkan 24 pesakit kritikal COVID-19 yang menggunakan sistem Hybrid dimana merupakan kombinasi modul kontena dengan kompleks khemah utilis yang dilengkapi dengan peralatan perubatan,” jelasnya.

Selain pegawai dan anggota perubatan, aturgerak turut melibatkan 3 Modul ICU, 1 Modul X-Ray, 3 khemah utilis TM 54, 7 Khemah Utilis TM 36 dan aset-aset perubatan serta barangan logistik am yang diperlukan bagi pengoperasian ICU medan tersebut.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menjelaskan, selain terlibat secara aktif di dalam aspek kawalan keselamatan di sempadan negara dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ATM juga terlibat di dalam memberi bantuan kesihatan melalui perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera dengan membantu pihak KKM di seluruh negara.

Beliau berkata, ATM sebelum ini telah membantu pembinaan dan pengoperasian 3 buah hospital medan iaitu di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di MAEPS Serdang; Dewan Kompleks Sukan Tawau serta Penjara Pokok Sena, Kedah.

Manakala, ATM juga telah menambah 2 lagi hospital medan, iaitu di Dewan Masyarakat Melayu, Kapit di Sabah dan kini di Hospital Kebapa Batas.

Seramai 3 orang pegawai dan 30 anggota perubatan dari  2 Bn Ubat ditugaskan sepanjang pengoperasian ICU medan ini. Selain itu, operasi ini turut melibatkan 2 orang pakar Bius dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT Mizan) dan 2 orang Pakar Teknikal Operasi Hospital Medan. –airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply