Home Semasa COVID-19: Ahli Parlimen pembangkang desak Menteri Pendidikan dan 2 timbalan letak jawatan

COVID-19: Ahli Parlimen pembangkang desak Menteri Pendidikan dan 2 timbalan letak jawatan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 24 Apr – Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti pembangkang mendesak agar Menteri Kanan Pendidikan dan dua timbalan meletak jawatan, susulan peningkatan kes COVID-19 melibatkan Kluster Pendidikan yang semakin meningkat.

Menerusi kenyataan bersama 8 pemimpin politik, mereka berkata rakyat umumnya kabur tentang hala tuju dan pelan tindakan terancang pihak kementerian berkaitan pendidikan di kala pandemik, kerana tidak wujud ketelusan maklumat dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada rakyat.

“Apa yang pasti, kemarahan rakyat terutamanya para guru, pentadbir sekolah dan ibubapa terhadap kerajaan dan KPM yang diwakili menteri dan dua timbalan menterinya adalah berhubung lemahnya pengendalian mereka terhadap situasi terkini dapat dilihat samada di peringkat bawahan mahupun di media sosial,

“Atas kesedaran ini, kami mewakili semua Ahli Parlimen PH dan parti-parti pembangkang yang lain mendesak agar Menteri Pendidikan beserta kedua-kedua timbalannya yang dilihat gagal dalam melaksanakan tugas mereka seperti yang diharapkan rakyat supaya segera berundur demi masa depan rakyat dan negara tercinta,” katanya.

Kenyataan bersama dibuat oleh Dr Maszlee Malik selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH, Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Teo Nie Ching (DAP), Datuk Dr Hasan Baharom (AMANAH), DSP Wilfred Madius Tangau (UPKO), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA), Datuk Amiruddin Hamzah (PEJUANG) dan Ahmad Hassan (WARISAN).

Mereka juga memaklumkan bahawa pembukaan sekolah secara berperingkat pada tahun ini dilakukan tergesa-gesa selepas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diumumkan tanpa disertai penerangan yang jelas kepada masyarakat.

“KPM tidak mewujudkan pelan dan mekanisme pembelajaran dalam norma baharu melibatkan sekolah jika terdapat kes-kes di sekolah apabila sekolah dibuka,” ujarnya.

“Apa yang berlaku kini, pihak pengurusan sekolah ramai yang hilang arah dan punca apabila peningkatan kes di sekolah tetapi mereka tidak dipersiap untuk PdPR di kala sekolah ditutup,

“Malah pemberian 150,000 komputer riba yang dijanjikan kerajaan masih tidak kelihatan,” jelasnya.

Namun, pada masa sama, jawatankuasa itu mengiktiraf usaha bersepadu pihak pengurusan sekolah dan para guru di seluruh negara dalam mematuhi SOP yang diberikan, di samping memastikan pendidikan terus berjalan demi kesejahteraan dan masa depan anak-anak bangsa.

“Kami akur bahawa usaha mengekang COVID-19 dari merebak lantas memutuskan rantaian jangkitan wabak menuntut usaha bersepadu semua pihak tanpa kompromi dengan mana-mana individu mahupun keadaan, demi memastikan keberkesanan usaha terangkum tersebut,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply