Home Semasa Penduduk Bukit Malut adalah orang Kedah merantau, fasih bahasa Melayu – Tun M

Penduduk Bukit Malut adalah orang Kedah merantau, fasih bahasa Melayu – Tun M

by M.Daim

LANGKAWI, 30 Mac – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan penduduk Bukit Malut merupakan orang Kedah yang pulang merantau dari luar negara.

“Orang Bukit Malut ini bukan orang Rohingya, mereka ini orang Melayu yang berhijrah ke Thailand dan Myanmar dan balik semula ke sini, mereka fasih berbahasa Melayu,

“Masyarakat yang tinggal di sini ialah orang Kedah yang merantau keluar dan balik semula dan buka penempatan di sini,

“Asalnya tidak ramai tapi setelah beranak pinak jadi bertambah. Bertambah bukanlah orang baru tetapi orang asal sini,” tegas beliau dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya.

Tegasnya, isu Bukit Malut sengaja dimainkan tanpa selidik oleh sesetengah pihak.

“Saya lihat isu ini selalu dimainkan tanpa memahami apa sebenarnya yang berlaku,” kata Tun M.

Beliau menambah, majoriti masyarakat Bukit Malut adalah nelayan dan membekalkan hasil laut untuk pasaran tempatan.

“Dari segi ekonomi, mereka ini berdikari dengan mendapat hasil kegiatan ekonomi tanpa bergantung kepada Kerajaan,

“Rata-rata orang di sini 80% darinya bekerja sebagai nelayan, mereka cari makan dari hasil laut,

“Mereka membekal ikan untuk Langkawi sehingga ke Kelantan,” jelas Tun M.

Tambahnya, beliau telah merancang untuk mewujudkan penempatan yang lebih teratur semasa menjadi Perdana Menteri.

“Semasa saya dalam Kerajaan sudah ada perancangan penempatan yang lebih teratur dengan bekalan air, letrik dengan jalan yang lebih sempurna,

“Penduduk di sini terima dan tidak bantah dengan rancangan yang mahu dibuat sebelum ini,

“Sekarang perancangan sudah ada, peruntukan pun sudah dimohon, tinggal lagi terserah kepada Kerajaan sekarang untuk tentukan penyelesaian masalah di sini,” katanya

Terdahulu, Tun M yang juga Ahli Parlimen Langkawi melakukan lawatan ke Bukit Malut dan berjumpa dengan penduduk setempat. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply