Home Semasa Kes kematian COVID-19 lepasi angka 1,000 – KP Kesihatan

Kes kematian COVID-19 lepasi angka 1,000 – KP Kesihatan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Malaysia mencatatkan 22 kematian baharu dalam tempoh masa 24 jam yang lalu, dan menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,005 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kematian itu membabitkan 8 kes di Selangor, Sabah (4), Kuala Lumpur (3), masing-masing dua kes di Sarawak dan Perak serta satu di Negeri Sembilan, Kedah dan Johor.

Manakala, sebanyak 5,709 kes sembuh direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 229,762 kes.

Jumlah kes sembuh itu mengatasi jumlah kes harian baharu iaitu sebanyak 2,998 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam negara mencecah 272,163 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 41,396 kes.

“Selangor terus melaporkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 1,382 kes. Daripada jumlah ini, 1,092 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan. Ia diikuti Johor sebanyak 436 kes dan Negeri Sembilan sebanyak 233 kes,

“Sebanyak 103 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan lokap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, terdapat 231 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 115 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaporkan terdapat 13 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang melibatkan 10 kluster berkaitan tempat kerja, 2 kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi, dan satu kluster komuniti. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply