Home Semasa COVID-19: 10 kematian, kes sembuh atasi jangkitan baharu

COVID-19: 10 kematian, kes sembuh atasi jangkitan baharu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Sebanyak 4,521 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 218,335 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes sembuh itu mengatasi jumlah kes harian baharu iaitu sebanyak 2,176 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam negara mencecah 266,445 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 47,135 kes.

“Selangor terus melaporkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 910 kes. Daripada jumlah ini, 724 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan. Ia diikuti Johor sebanyak 269 kes dan Sarawak sebanyak 246 kes,

“Sebanyak 64 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara, lokap, dan depoh tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Bendera (40 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (18 kes), Kluster Tembok Tapah (4 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1 kes), dan Kluster Tembok Taiping (1 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 260 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 112 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, 10 kematian direkodkan membabitkan 5 kes di Selangor, Kuala Lumpur (2), dan masing-masing satu kes di Sabah, Johor serta Perak yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 975 kes.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaporkan terdapat 13 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang melibatkan 10 kluster berkaitan tempat kerja serta satu masing-masing melibatkan komuniti, pusat tahanan dan kumpulan berisiko tinggi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply