Home Semasa Seorang lagi wira barisan hadapan gugur

Seorang lagi wira barisan hadapan gugur

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Seorang doktor yang bertugas sebagai barisan hadapan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disahkan meninggal dunia, kelmarin.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di media sosial Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), semalam.

“Kami baru menerima khabar kematian Allahyarham Dr Ali Noor Hassan melalui laman Facebooknya,

“Arwah merupakan ahli berdaftar SPJM dan telah mengikuti SPJM sejak tahun 2018 serta menyertai Kursus Pengurusan Jenazah SPJM di Surau Quba Sentul pada 2 tahun lepas,

“Ini gambar terakhir beliau yang sempat diambil oleh rakannya sebelum beliau jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih, selain kekurangan masa untuk beristirehat setelah bertugas di barisan hadapan KKM menangani COVID-19. Beliau tertidur ketika bertugas dan pengsan,” kata hantaran itu.

Menurut hantaran tersebut, Dr Ali Noor juga adalah seorang ahli khidmat dakwah dan sudah dua kali menyertai Ijtimak Jemaah Tabligh di Beaufort, Sabah.

“Setiap kali Ijtimak besar jemaah tabligh di Sabah, Dr Ali akan datang dari Selangor berkhidmat secara sukarela sebagai petugas perubatan bagi peserta ijtimak,

“Sekali lagi SPJM kehilangan seorang ahli yang begitu komited berkhidmat untuk ummah selepas pemergian Pengerusi SPJM negeri Kedah, Habibullah pada hari Jumaat lepas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran di media sosialnya turut mengesahkan kematian Dr Ali.

“Salam takziah diucapkan buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Dr Ali Noor Hassan atas pemergian beliau,

“Allahyarham Dr Ali Noor telah pulang ke pangkuan Ilahi lewat malam kelmarin (18 Januari 2021),

“Beliau merupakan seorang Pegawai Perubatan KKM yang amat disenangi oleh rakan-rakan sekerja, pesakit dan masyarakat setempat beliau,” tegasnya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa ujian COVID-19 ke atas Dr Ali Noor adalah negatif.

Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak awal Disember 2020 disebabkan penyakit lain dan telah menjalani beberapa sesi rawatan.

“Bagi menghormati jenazah serta ahli keluarga Allahyarham Dr Ali Noor, KKM memohon agar mana-mana pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes beliau,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply