KOTA KINABALU, 20 Jan – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengatur gerak aset dan anggotanya di Sabah bagi penugasan Op Murni di sekitar Kota Kinabalu, semalam.
Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dalam hantaran di media sosial berkata, anggota 5 Div telah diaturgerakan untuk membantu kerajaan negeri Sabah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam proses pemindahan mangsa banjir serta mengagihkan bantuan makanan kepada mangsa banjir di kawasan berkenaan.
Menurut Panglima 5 Div, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid, mereka juga turut membantu penduduk kampung yang terputus hubungan di beberapa daerah sekitar Kota Kinabalu, Putatan, Beluran,Penampang, Papar, Kota Belud, Beaufort dan Tuaran.
Beliau turut menjelaskan, seramai 13 orang pegawai dan 324 anggota lain-lain pangkat (LLP) turut diaturgerak bagi melaksanakan Op Penawar di kawasan tanggungjawab.
“Anggota 5 Div turut terlibat dalam tugasan sekatan jalan raya (SJR), rondaan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kawalan keselamatan pos statik untuk membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negeri Sabah,
“Pada masa yang sama, Mohd Halim turut berkesempatan melawat sendiri Pos SJR di Taman Puterajaya, Telipok dan Anjung Melawa, Kota Kinabalu yang menempatkan anggota Rejimen 507 Askar Wataniah (Rej 507 AW) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi membantu PDRM termasuk RELA dan Agensi Pertahanan Awam (APM) dalam memperketatkan penguatkuasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sehingga pagi ini, jumlah mangsa banjir di Sabah kekal 791 orang daripada 227 keluarga di 13 PPS. –airtimes.my