Home Politik Kami siapkan permohonan cabar darurat di mahkamah – Anwar Ibrahim

Kami siapkan permohonan cabar darurat di mahkamah – Anwar Ibrahim

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan pihaknya sedang mempersiapkan permohonan untuk mencabar pengisytiharan darurat di mahkamah.

“Telah saya umumkan baru-baru ini tentang usaha kami dalam merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan Perlembagaan serta rakyat dari salahguna kuasa,

“Dan juga, pasukan peguam telah ditugaskan untuk menyiapkan permohonan untuk mencabar langkah Pengisytiharan Darurat yang dibuat oleh kerajaan Muhyiddin,
“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar jangan putus asa,” kata Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan di akaun media sosial rasminya.

Menurut beliau, langkah pengisytiharan darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat begitu terdesak dan melulu serta tidak mempunyai asas yang kukuh.

Jelasnya, kerajaan Perikatan Nasional telah hilang kewibawaan dan keyakinan.

“Langkah mengisytiharkan darurat tampak terdesak dan melulu, tanpa sebarang asas yang kukuh, langsung melebarkan jurang antara rakyat dan kerajaan,

“Muhyiddin minta kita percaya dia tatkala kediktatoran beliau semakin menonjol. Keyakinan terhadap kepimpinan beliau juga semakin merosot tatkala seorang demi seorang Ahli Parlimen menarik sokongan,

“Apakah kita masih boleh percaya dengan kerajaan hari ini?

Pengisytiharan darurat semacam tidak ada kaitan dengan usaha dan upaya kita untuk melawan dampak wabak, tetapi sebaliknya hanya sebagai wahana untuk terus berpaut pada kuasa dan kedudukan?” soal Ahli Parlimen Port Dickson.

Pada masa yang sama, Anwar mengingatkan rakyat Malaysia untuk terus mematuhi prosedur operasi standard bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply