Home Semasa COVID-19: 1,925 kes baharu, Selangor kekal catat kes harian tertinggi

COVID-19: 1,925 kes baharu, Selangor kekal catat kes harian tertinggi

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Sebanyak 1,925 kes harian baharu positif COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 108,615 kes setakat ini di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 21,443 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,915 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan negeri Selangor terus mencatat jumlah kes harian tertinggi sebanyak 747 kes.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 625 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” ujarnya.

Seterusnya, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 360 kes dan Pahang 288 kes.

“Peningkatan kes di Pahang dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok Mempaga yang melaporkan sebanyak 282 kes,

“Sehingga kini, terdapat 117 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 55 kes memerlukan bantuan pernafasan,” tambahnya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata Malaysia turut merekodkan 2 kes kematian pada Selasa, menjadikan keseluruhan 457 kematian setakat ini.

“Kes kematian ke-456 melibatkan seorang lelaki warganegara berusia 65 tahun, dengan latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, jantung, dan strok yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh,

“Manakala kes kematian ke-457 melibatkan seorang perempuan warganegara berusia 68 tahun, dengan latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis, dan buah pinggang kronik yang meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu,” jelasnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply