Home Semasa Biar parti mana pun memerintah, janji orang Melayu – Rani Kulup

Biar parti mana pun memerintah, janji orang Melayu – Rani Kulup

by Admin

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Perdana Menteri yang akan dilantik selepas ini harus mempertahankan nasib orang Melayu dan menjaga Agama Islam untuk meneruskan keamanan serta keharmonian di dalam negara, tegas Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah.

Beliau yang lebih dikenali dengan Ayah Rani berkata, agenda menyelamatkan negara lebih penting berbanding menentukan siapa yang menjadi Perdana Menteri kesembilan.

“Rakyat sudah membuat pilihan pada pilihan raya yang terdahulu. Ahli Parlimen yang dilantik harus melaksanakan kerja serta tugasan untuk mengekalkan keharmonian dan bukan hanya ingin merebut kuasa di antara mereka.

“Tidak kiralah siapa hendak jadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke, Tengku Razaleigh Hamzah atau sesiapa sahaja yang dilantik,

“Janji Perdana Menteri orang Melayu, tak mahu bangsa lain kerana negara ini asal pun dari Tanah melayu. Mereka mesti mempertahankan orang Melayu, Agama dan Bangsa,” katanya ketika temu bual santai dalam mengupas isu-isu semasa bersama Air Times News Network, hari ini.

Tubuh 3 Parti Politik Utama

Ayah Rani yang berusia 65 tahun turut mencadangkan kepada kerajaan agar menubuhkan 3 parti utama di dalam negara untuk mengukuhkan pentadbiran kerajaan di masa hadapan.

“Parti politik di Malaysia terlalu banyak, jadi buat 3 parti sahaja yang utama iaitu Parti Melayu, India dan China elak perpecahan,

“Orang Melayu, masuk Parti Melayu, walaupun anak-anak parti bawah Parti Melayu itu banyak, cawangan banyak, mereka wajib masuk,

“Orang India masuk Parti India manakala orang Cina kena masuk Parti Cina. Baru selamat, kalau tidak macam-macam akan terjadi,

“Tak ada masalah, UMNO nak masuk Perikatan Nasioanal (PN), UMNO hendak masuk PAS ke, semua parti adalah yang diluluskan oleh Perlembagaan Negara. Jadi semua tiada masalah,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Ayah Rani turut mengesa orang Melayu dan Ahli Parlimen agar bersatu padu untuk mengelakkan perebutan jawatan.

“Orang Melayu perlu bersatu hati dan bekerjasama. Ahli Parlimen juga perlu bersatu hati antara satu sama lain. Bukan asyik hendak mengejar jawatan sahaja,

“Kalau semua bersatu hati, tidak timbulah keadaan yang tidak stabil dan keadaan politik yang kucar kacir,” ujar Ayah Rani.

Raja Report

Ayah Rani yang dikenali sebagai ‘Raja Report’ sering kelihatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kerana membuat laporan polis terhadap pelbagai isu di dalam media sosial khususnya yang melibatkan kepentingan agama, Raja dan orang Melayu.

“Kali pertama ayah buat laporan polis pada 2012 mengenai isu coklat Cadbury yang diragui kandungan halalnya. Ketika itu kali pertama ayah mendapat perhatian media. Sehingga hari ini, ayah dah buat 300 hingga 400 laporan laporan polis,

“Ayah tak ingat, tapi kalau hendak tahu jumlah yang betul, kena semak di balai polis yang ayah buat report,” katanya sambil ketawa.

Anggota UCIS

Bekas pesara tentera berpangkat Pegawai Waran 1 ini adalah anak jati Kuala Kangsar, Perak dan pernah berkhidmat selama 22 tahun dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

“Ayah adalah anggota Unit Combat Intelligence Squad (UCIS). Ayah pernah dihantar berkursus di Pusat Latihan Peperangan Khas (PLPK) di Kem Terendak, Melaka. Kami dilatih secara khusus untuk bergerak dalam kumpulan kecil (RKK). Selepas 21 tahun berkhidmat untuk negara, ayah pencen,” tambahnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply