Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: 12,104 anggota diatur gerak kekang kemasukan PATI di sempadan negara

Op Benteng: 12,104 anggota diatur gerak kekang kemasukan PATI di sempadan negara

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Pasukan Petugas Khas Kebangsaan (NTF) telah mengatur gerak seramai 12,104 anggota bagi memperkasakan Operasi Benteng (Op Benteng) dengan tujuan mengekang pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada membolosi sempadan negara terutama melalui lorong tikus.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jenaral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, operasi secara bersepadu ini melibatkan 19 agensi keselamatan dan penguatkuasaan termasuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Beliau berkata, NTF melalui Op Benteng telah memperkukuhkan kawalan dan rondaan maritim meliputi pelaksanaan Inisiatif Bertanya Khabar (IBK), pemeriksaan bot-bot, penggeledahan yang dilaksanakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), APMM serta Pasukan Polis Marin.

“Dengan pelaksanaan fasa pertama Op Cegah Pati (OCP) ini juga, melalui Op Benteng sehingga kini sebanyak 22 siri rondaan maritim telah dilaksanakan. Melalui rondaan berkenaan, sebanyak 54 Inisiatif Bertanya Khabar (IBK) dilaksanakan, 69 pemeriksaan dan penggeledahan telah dibuat serta 104 laporan penglihatan telah direkodkan,

“Sebanyak 142 tangkapan melibatkan PATI telah dibuat. Di samping itu, 176 pemantauan udara yang juga melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut dilaksanakan bermula 12 Mei lalu di Sabah dan juga Sarawak,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, aspek kawalan keselamatan terutama di pesisir dan pulau-pulau di Pantai Timur Sabah juga turut diperkasakan melalui rondaan dan kawalan keselamatan yang dilaksanakan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut bersama memperkukuhkan penguatkuasaan keselamatan di pintu-pintu sempadan Negara terutama di Pantai Timur Sabah,

“Penglibatan dan kerjasama padu anggota serta aset-aset dari semua agensi keselamatan serta penguatkuasaan di bawah NTF, kawalan sempadan daratan dan perairan negara mampu diperketatkan tanpa menjejaskan atur gerak sedia ada trup dan aset ATM yang telah diaturgerakkan dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama di Sabah,” katanya.

Affendi turut mengesa masyarakat setempat untuk memberi kerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan dengan PATI, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan kepada pihak berkuasa.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, seramai 12,877 PATI telah ditahan di Sabah sejak 1 Januari lalu.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 7,673 PATI telah dihantar pulang ke negera asal masing-masing termasuk mereka yang berasal dari Filipina dan Indonesia. -airtimes.my

KATA KUNCI : Nasional Task ForceOperasi BentengPasukan Polis Marinperairan

Leave a Reply