Home Semasa Kastam rampas rokok seludup RM517 ribu di Pelabuhan Klang

Kastam rampas rokok seludup RM517 ribu di Pelabuhan Klang

by Nurulhuda

PELABUHAN KLANG, 7 Okt – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan penyeludupan 6,469,600 batang rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM517,568.00 susulan penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor pada 1 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM, Datuk Johari Alifah, berkata kontena yang berukuran 40 kaki yang mengandungi rokok putih tidak berkastam dari pelbagai jenama itu disyaki untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata, kontena itu ditahan oleh pasukan daripada Unit Siasatan Dalaman (USD) bersama Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasa JKDM Pulau Pinang.

“Siasatan awal mendapati kontena Pelabuhan Utara dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang, Selangor. Melalui dokumen-dokumen yang diperolehi, dagangan ini disyaki berasal dari salah sebuah negara di Asia Timur,

“Sebahagian rokok putih itu telah dimuatkan di dalam 22 kotak kayu besar berukuran 2.30 meter panjang, 1.04 meter lebar dan 1.32 meter tinggi,

“Daripada 22 kotak kayu turut diselitkan tong sampah plastik bagi tujuan memadatkan muatan di dalam kotak kayu dan dalam masa yang sama untuk mengaburi pihak berkuasa untuk tidak mengesyaki kotak kayu berisi rokok putih,

“Sebahagian mastercase rokok dibalut dengan menggunakan guni plastik berwarna hijau, putih dan ada yang di masukan ke dalam satu kotak lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Johari berkata, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 yang boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang.

“Pesalah juga boleh dikenakan denda RM100,000.00 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000.00 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau turut menggesa orang ramai bagi membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta menasihatkan agar tidak melibatkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,

“Orang awam boleh memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan kepada Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply