Home Semasa COVID-19: Pingat Jasa Dikenang kurniaan Sultan Johor hargai petugas barisan hadapan

COVID-19: Pingat Jasa Dikenang kurniaan Sultan Johor hargai petugas barisan hadapan

by Air Times News Network

JOHOR BAHRU, 4 Okt – Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan memperkenalkan Pingat Jasa Dikenang, khas sebagai menghargai pengorbanan petugas-petugas barisan hadapan di negeri Johor yang secara berterusan bertungkus-lumus memerangi penularan COVID-19.

Baginda bertitah, pingat berserta surat akuan akan dikurniakan kepada penerima terdiri daripada pelbagai jabatan serta agensi yang secara langsung terlibat dalam penugasan.

“Dalam menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan di Johor, saya berkenan untuk mengurniakan mereka Pingat Jasa Dikenang,

“Teruskan usaha baik anda semua, dan saya harap rakyat jelata terus memberi kerjasama sebaiknya bagi menghalang virus ini dari terus menular,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Sultan Johor bertitah, pingat berkenaan akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak di mana, akan dipilih oleh ketua jabatan atau agensi masing-masing – Foto: Royal Press Office

Terdahulu, Sultan Johor berkenan menerima mengadap Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, hari ini.

Pada pertemuan itu, Abdul Rahim turut mempersembahkan contoh Surat Akuan berkenaan kepada baginda Sultan Johor.

Warna riben pada pingat itu terdiri daripada putih, merah dan biru menandakan Bendera Johor, manakala di bahagian belakang, terdapat reka bentuk 10 tangan memegang erat di antara satu sama lain menandakan 10 daerah di Johor.

“Sultan Johor bertitah, pingat berkenaan akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak di mana, akan dipilih oleh ketua jabatan atau agensi masing-masing,

“Pingat ini kemudian akan saya sampaikan kepada ketua-ketua jabatan untuk diberikan kepada penerima antaranya Jabatan Kesihatan Johor, polis, tentera, bomba dan lain-lain,” titah baginda yang dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. – airtimes.my

Contoh Surat Akuan yang akan dikurniakan oleh Sultan Johor kepada petugas barisan hadapan COVID-19 di Johor – Foto: Royal Press Office

Bahagian belakang, terdapat reka bentuk 10 tangan memegang erat di antara satu sama lain menandakan 10 daerah di Johor – Foto: Royal Press Office

 

Related Articles

Leave a Reply