Home Semasa Kapal MT Strovocos dan MV Ocean Line 5001 berlanggar di perairan Tanjung Keling

Kapal MT Strovocos dan MV Ocean Line 5001 berlanggar di perairan Tanjung Keling

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Jabatan Laut Malaysia (JLM) melaporkan dua kapal iaitu MT Strovocos dan MV Ocean Line 5001 berlanggar di perairan Tanjung Keling, Melaka semalam.

JLM dalam satu kenyataan semalam berkata, kejadian itu berlaku pada jam 11.38 pagi di kedudukan kira-kira 2.4 batu nautika arah daya Terminal Tanjung Bruas.

“MV Oceanline 5001 semasa dalam pelayaran dari kawasan tambakan Kota Laksamana, Melaka menuju ke lokasi pengambilan pasir luar Had Pelabuhan Melaka telah melanggar bahagian tengah (mid ship) sebelah kiri MT Strovocos yang pada ketika itu sedang berlabuh sauh di dalam Had Pelabuhan Melaka,

“Akibat dari perlanggaran ini, kedua-dua kapal itu telah mengalami kerosakan. Walau bagaimanapun tiada kerosakan yang boleh menyebabkan kedua-dua kapal itu tenggelam ataupun memberi ancaman sebarang pencemaran alam sekitar seperti tumpahan minyak dan sebagainya,” kata kenyataan itu.

Kejadian itu juga tidak melibatkan sebarang kematian mahupun kecederaan pada krew kapal terbabit ataupun pihak ketiga.

“Jabatan Laut Malaysia melalui Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah telah menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi memperincikan kejadian ini,

“Jabatan Laut Malaysia akan sentiasa memantau situasi ini bagi mengekalkan keselamatan pelayaran kapal-kapal dan penjagaan alam sekitar marin dari tercemar,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu, JLM juga menasihatkan pihak-pihak yang berkepentingan dan orang awam yang berminat untuk mendapatkan maklumat yang benar serta tepat supaya menghubungi Unit Korporat, Jabatan Laut Malaysia yang bertanggungjawab menyalurkan sebarang makluman rasmi jabatan itu. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply