Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: KDN tambah anggota agensi perketat kawalan sempadan negara di Sabah

COVID-19: KDN tambah anggota agensi perketat kawalan sempadan negara di Sabah

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius akan peningkatan bilangan kes wabak pandemik COVID-19 yang tinggi dan membimbangkan di negeri Sabah.

Menurutnya, kesemua agensi di bawah KDN iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah diarah memperketatkan lagi kawalan sempadan darat dan laut negeri Sabah daripada pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Saya turut mengarahkan bilangan anggota dan operasi yang terlibat dalam Op Benteng ditambah sebagai langkah memastikan pencerobohan migran yang berkemungkinan membawa COVID-19 dan penyebarannya dalam kalangan rakyat tempatan dapat dikekang,

“KDN akan terus memantau perkembangan terkini di semua lokasi panas yang merupakan titik pendaratan atau lorong-lorong tikus digunakan migran untuk menceroboh masuk ke dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat sebanyak 287 kes baharu telah dicatat dan sekali gus merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah pernah dicatatkan di Malaysia.

Kesemua kes adalah penularan tempatan dan perkembangan terbaharu itu menjadikan kes terkumpul setakat ini berjumlah 11,771 dengan kes aktif sebanyak 1,540 – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply