KUALA LUMPUR, 28 Sept – Bilangan kes jangkitan baharu COVID-19 di Malaysia mencatatkan 3 angka untuk 2 hari berturut-turut.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan sebanyak 115 kes jangkitan baharu dikesan pada hari ini dengan 112 kes melibatkan penularan dalam negara.
Bilangan pesakit yang dirawat di Unit Rawatan rapi (ICU) meningkat kepada 8 orang manakala jumlah mangsa wabak yang memerlukan alat bantuan pernafasan bertambah kepada 5 orang.
Seramai 54 orang pesakit diisytiharkan sembuh dan dibenarkan pulang pada hari ini.
Sabah mencatatkan kes tertinggi dengan 98 kes. Sementara itu, Kedah, Melaka, Terengganu dan Labuan masing-masing mencatatkan 1 kes.
Selangor pula mencatatkan 10 kes dengan pertambahan 1 kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan mengesahkan kluster tersebut adalah berpunca dari pesakit yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.
“Kes indeks bagi Kluster Apas merupakan pasangan suami isteri warganegara Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah daripada 13 hingga 16 September 2020,
“Mereka dikesan bergejala 18 September 2020 yang kemudian mendapatkan rawatan di pusat perubatan pada 19 September 2020. Mereka kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 24 September,” kata Tan Sri Noor Hisham Abdullah.
Menurut beliau, kluster terbaharu ini telah mencatatkan 8 kes jangkitan.
Sehingga kini, jumlah kes jangkitan COVID-19 di negara ini 11,034 kes manakala kes sembuh pula adalah 9,889 kes.
Jumlah kes kematian adalah 134. – airtimes.my