Home Semasa Sabah milik Malaysia, tiada sebab perlu berunding dengan Filipina – Hishammuddin

Sabah milik Malaysia, tiada sebab perlu berunding dengan Filipina – Hishammuddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Malaysia tidak akan melayan tuntutan Filipina ke atas Sabah kerana negeri itu adalah milik Malaysia buat selama-lamanya.

Menurut Hishamuddin, beliau kecewa apabila Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal baru-baru ini mencadangkan agar kerajaan Malaysia berunding dengan Filipina mengenai tuntutan ke atas Sabah.

“Sebelum ini saya telah tegaskan banyak kali, tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak akan dilayan dan Sabah milik Malaysia buat selama-lamanya,

“Perlu difahami, tuntutan Filipina bukan sahaja tidak berasas, malah langsung tidak relevan. Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan tersebut,

“Jadi, tiada sebab mengapa kita perlu berunding dengan mereka. Sekiranya kita buka ruang rundingan, itu bermakna Malaysia akui tuntutan tersebut mempunyai asas. Atau sebenarnya memang Shafie anggap tuntutan Filipina berasas?” kata Hishamuddin dalam satu hantaran facebook rasminya hari ini.

Tambahnya, sebagai pemimpin Sabah, Shafie sepatutnya lebih tegas, bukannya memberi muka kepada pihak luar yang cuba mempersoalkan kedaulatan Sabah.

“Pendirian Kerajaan Malaysia tetap kukuh iaitu tidak akan berunding atau melayan tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah!” ujarnya.

Sebelum ini, Shafie berkata isu tuntutan Filipina ke atas Sabah harus diselesaikan menerusi rundingan antara kerajaan Malaysia dan Filipina.

Beliau menegaskan rundingan ini perlu diadakan bagi memberi kefahaman yang jelas kepada Filipina bahawa tidak timbul lagi isu tuntutan ke atas Sabah kerana kedudukan Sabah dalam Malaysia diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply