Home Semasa LRA Sungai Selangor 1, 2, 3 dan Rantau Panjang mula beroperasi malam tadi

LRA Sungai Selangor 1, 2, 3 dan Rantau Panjang mula beroperasi malam tadi

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 5 Sept – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah beroperasi semula pada jam 10.30 malam tadi secara berperingkat-peringkat.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri dalam satu kenyataan berkata keempat-empat LRA ini akan mengambil masa selama 10 jam yang perlu diambil untuk aktiviti pencucian dan pengepaman terlebih dahulu sebelum ia dapat beroperasi sepenuhnya.

Manakala operasi bagi mengisi kolam imbangan sehingga ke paras 4 meter yang dijangka selesai pada 8.30 pagi ini, sebelum ia dapat diagihkan kepada para pengguna.

“Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan terlebih dahulu,

“Ini termasuk memenuhkan semua tangki-tangki utama yang telah kosong, memastikan tekanan air mencukupi dan memastikan tiada ‘airlock’ dalam sistem perpaipan,” katanya.

Menurutnya lagi, Air Selangor juga akan terus melaksanakan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 500 juta liter sehari (JLH), Empangan Sg Tinggi sebanyak 800 JLH, HORAS 600 sebanyak 150 JLH dan operasi pengepaman kolam air pula sebanyak 582­­­­­ JLH untuk membantu proses pemulihan sumber air mentah bagi keempat-empat LRA yang kini sedang beroperasi merawat air dengan kapasiti maksimum sebanyak 2,850 JLH.

Dalam pada itu, Air Selangor telah mendapat bantuan 9 lori tangki daripada operator air negeri lain seperti Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dan Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd (SAJ) untuk membantu mengagihkan air kepada pengguna yang terjejas.

“Bantuan bekalan air kecemasan yang telah dilaksanakan oleh Air Selangor sehingga kini adalah menggerakkan sebanyak 114 lori tangki termasuk 9 daripada operator negeri lain, menyediakan 22 pili awam di kawasan yang mempunyai bekalan air dan menempatkan 70 tangki statik di 19 Pusat Khidmat Setempat serta mengagihkan air minum 5 liter,

“Air Selangor akan mengemas kini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com,

“Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply