Home Semasa Rumah tepi sungai dirobohkan, kilang haram masih berdiri teguh – Noh Omar

Rumah tepi sungai dirobohkan, kilang haram masih berdiri teguh – Noh Omar

by Air Times News Network

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=iDDiZBd1sUE[/embedyt]TANJONG KARANG, 5 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mempersoalkan tindakan kerajaan negeri merobohkan rumah yang dibina di tepi sungai seperti di Kuang, Subang Perantau dan Paya Jaras, Selangor.

Sebaliknya kilang-kilang haram di tepi sungai masih berdiri teguh sehingga menyebabkan pencemaran air sungai.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata kerajaan negeri Selangor dibawah Pakatan Harapan (PH) ini perlu menjelaskan kepada rakyat tindakan tersebut.

Tan Sri Noh Omar mencabar kerajaan negeri Selangor untuk membuat pemutihan (bersih) ke atas kilang-kilang haram yang dibina di tepi sungai – Foto AirTimes

“Kita nak tanya kepada kerajaan negeri, mengapa rumah di tepi parit seperti di Kuang dirobohkan, kalau kita tengok kerja mereka ini hanya pandai meroboh rumah, baru dua hari lepas di Subang Perantau dan Paya Jaras,

“Mengapa rumah tepi parit, rizab sungai boleh dirobohkan tetapi mengapa kilang haram masih berdiri teguh,

“Saya telah bangkitkan mengenai kilang-kilang haram ini yang dibuat dipinggir sungai semenjak 2016 lagi semasa dibawah pemerintahan Datuk Seri Azmin Ali,” katanya kepada pemberita semasa himpunan aman mendesak kerajaan negeri Selangor mengambil tindakan kepada kilang haram, hari ini.

Selain itu, beliau ingin tahu apakah sumbangan kembali kerajaan negeri Selangor semula kepada rakyat hampir 1.2 juta yang menderita dengan masalah ini.

“Apakah hanya sekadar bercakap, memberikan hebahan, membuat kenyataan air akan pulih lagi dalam 5 hari, itu soal dan tanggungjawab kerajaan negeri,

“Bagaimana nak membela nasib rakyat, lagi-lagi lepas COVID-19 ini. Kerajaan pusat memberi pelbagai bantuan, kerajaan negeri sepatutnya kalau bertanggungjawab mesti memberikan bantuan kepada rakyat yang terjejas termasuk peniaga dan usahawan,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan negeri Selangor dibawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari jika tidak pandai memerintah perlu meletak jawatan.

Jelasnya, permasalah air ini perlu kita mengenepikan fahaman politik, ini kerana melibatkan semua orang tidak kiralah parti Pakatan Harapan (PH) dan UMNO akan tidak memperolehi air.

“Ini negeri maju, negeri Selangor maju agak memalukan masalah air, kerajaan bolehlah membuat satu tema ialah tahun melawat Selangor tanpa air,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mencabar kerajaan Selangor untuk membuat pemutihan (bersih) keatas kilang-kilang haram yang dibina di tepi sungai.

“Bersihkan seperti mana kamu (kerajaan Selangor) merobohkan rumah-rumah yang dibina di tepi sungai,

“Kalau tak mahu roboh, tutup… Kalau roboh, nanti kata zalim, jadi tarik lesen perniagaan. Setakat sita, nanti besok (kilang) buka balik. Denda RM60 ribu apa ada hal,

“Yang rakyat menderita RM1.2 juta siapa peduli? Berapa juta pulak kerajaan rugi?

“Saya minta kerajaan kalau tidak pandai memerintah, tolonglah bantu rakyat. Bagi sumbangan balik kepada rakyat yang menderita hari ini,” tegasnya.

Saya berharap kerajaan negeri faham-fahamlah, kalau tak rfeti belajar, kalau pandai buat yang terbaik untuk rakyat – Yeop Mat Sanip. Foto: AirTimes

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Bestari Jaya, Yeop Mat Sanip, 73, berkata masalah air ini amat menyusahkan dan membebankan rakyat.

“Kerajaan negeri sepatutnya memainkan peranan yang besar dalam menyelesaikan permasalahan ini dengan menolak fahaman politik dengan pandangan orang-orang yang berpengalaman,

“Saya minta kerajaan negeri mengambil perhatian khusus untuk menyelesaikan masalah air ini, kita bukannya tidak terkejut wujud beberapa kilang-kilang di tepi sungai,” katanya.

Tegasnya, kerajaan negeri Selangor perlu ambil iktibar kerana perkara ini pernah berlaku beberapa kali seperti pencemaran minyak kerana air ini adalah sumber penting kepada rakyat.

“Saya berharap kerajaan negeri faham-fahamlah, kalau tak reti belajar, kalau pandai buat yang terbaik untuk rakyat,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply