Home Semasa Pasang bendera terbalik: Bukan hanya tukang pasang ditangkap, pemilik premis pun kami angkut – Ayub Khan

Pasang bendera terbalik: Bukan hanya tukang pasang ditangkap, pemilik premis pun kami angkut – Ayub Khan

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 12 Ogos – Polis menahan 4 individu termasuk pengurus kilang diatas kesalahan memasang Jalur gemilang dan bendera Johor secara terbalik di Kawasan Perindustrian Tebrau, Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, 3 yang lain merupakan seorang pegawai sumber manusia di kilang tersebut berusia 29 tahun, kerani logistik, 25 dan pekerja warga Bangladesh yang berusia 35 tahun.

Beliau berkata, pihaknya bertindak atas maklumat dan laporan polis yang dibuat orang awam.

“Anggota pasukan polis dari Balai Polis Bandar Dato’ Onn telah membuat pemeriksaan di kilang yang sudah beroperasi selama 8 tahun itu,

“Hasil pemeriksaan mendapati bendera Johor dan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik. Pihak polis kemudiannya menahan 4 suspek yang terdiri daripada seorang lelaki cina, 2 perempuan Cina dan seorang lelaki warga Bangladesh,

“Semua suspek ditahan untuk diambil keterangan dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya,

“Selain itu mereka disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor, hari ini.

Beliau menegaskan Polis Johor tidak akan menerima sebarang alasan berkaitan kesalahan pemasangan bendera tersebut. Pihaknya bukan hanya menahan individu yang memasang Jalur Gemilang, tapi pemilik premis sekali turut akan ditahan.

“Rakyat Malaysia yang sudah merdeka 63 tahun namun masih lagi memasang Jalur Gemilang terbalik. Tidak ada tolak ansur lagi. Selepas ini kalau ada lagi, kita (polis) akan tangkap, semua sekali. Tidak kira pengurus ke, penyelia ke, kita hendak semua bertanggungjawab,

“Alasan yang biasa diberi dalam pemasangan bendera secara terbalik itu adalah disebabkan warga asing yang memasangnya,

“Sebagai rakyat Malaysia sepatutnya mereka prihatin dan menyelia proses pemasangan bendera dengan teliti. Habis apa peranan pemilik kilang itu?

“Polis Johor menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kedaulatan dan keamanan negara, selain tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada jika masih terkesan perbuatan sebegini,

“Sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254 074,” katanya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply