Home SemasaGlobal Jumlah kes jangkitan COVID-19 global hampiri paras 20 juta

Jumlah kes jangkitan COVID-19 global hampiri paras 20 juta

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menyuarakan kebimbangan beliau bahawa angka jangkitan akibat wabak COVID-19 semakin menghampiri paras 20 juta orang.

Menurut beliau, masih belum terlambat untuk masyarakat dunia membendung impak yang lebih teruk dari penularan wabak ini.

“Terdapat 2 elemen utama dalam usaha untuk membendung wabak ini iaitu dari pihak kepimpinan (kerajaan) dan juga masyarakat,

“Pemimpin perlu mengorak langkah bagi mempertingkatkan tindakan mereka manakala masyarakat perlu bersedia serta menerima langkah yang baharu bagi membendung wabak ini,” katanya semasa Sidang Media WHO pada malam 10 Ogos (waktu Malaysia).

Beliau menambah, kebanyakan negara-negara di rantau Asia Pasifik dan Laut Carribean berjaya membendung virus ini.

“New Zealand merupakan contoh terbaik selepas mereka berjaya mengharungi tempoh 100 hari tanpa sebarang penularan tempatan wabak ini,

“Namun, mereka telah mengambil langkah untuk terus berjaga-jaga,” jelas Dr Tedros.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan banyak negara maju yang terjejas akibat COVID-19 telah berjaya menghalang penularan wabak itu dengan mengambil pelbagai langkah pencegahan.

“Banyak negara di seluruh dunia sedang berusaha untuk menghalang gelombang baharu penularan wabak ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, United Kingdom telah mengenakan langkah perintah berkurung di beberapa tempat di England berikutan kewujudan kluster wabak.

Selain itu, Perancis turut mengenakan peraturan wajib penggunaan topeng pelitup muka di kawasan orang ramai.

Sementara itu, beliau turut menyuarakan amaran kepada mana-mana negara yang berjaya mengurangkan penularan wabak COVID-19 untuk terus berjaga-jaga.

“Mereka perlu mengambil perhatian akan risiko kewujudan kluster baharu ketika membenarkan semula aktiviti dalam masyarakat,

“Kita mahu sekolah dibuka semula tetapi keselamatan para pengajar, pelajar serta kakitangan institusi adalah terjaga,” kata Tedros.

Sementara itu, dalam statistik yang dikeluarkan oleh WHO, jumlah kes jangkitan COVID-19 pada peringkat global adalah pada 19,718,030 kes dengan bilangan kematian sebanyak 728,013 kes.

Amerika Syarikat masih lagi mencatatkan rekod jumlah kes jangkitan yang tinggi iaitu sebanyak 5,075,678 kes; Brazil pula mencatatkan jumlah sebanyak 3,035,422 kes sementara India adalah 2,215,074 kes. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply