GENEVA, 24 Okt – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus hari ini menegaskan masyarakat global akan berdepan situasi sukar akibat peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia.
Beliau dalam sidang media berkata, kes dilaporkan semakin meningkat di kawasan hemisfera utara.
“Kita akan menghadapi situasi yang sukar dalam beberapa bulan akan datang dan beberapa negara telah menunjukkan perkembangan yang bahaya,
“Banyak negara telah mencatatkan peningkatan kes secara mendadak sehingga menyebabkan kekurangan kapasiti katil serta Unit Rawatan Rapi,” jelasnya.
Tambahnya, mana-mana negara yang telah berjaya mengawal penualran COVID-19 perlu mengandakan usaha mereka bagi mengelakkan wabak tersebut kembali menular.
Menurut beliau, kerajaan di seluruh dunia perlu mempertingkatkan usaha mereka dalam membendung penularan wabak ini bagi menggelakkan situasi menjadi lebih buruk.
“Situasi seperti peningkatan kes kematian, keruntuhan sistem kesihatan dan penutupan sekolah perlu dielakkan dari berlaku dengan menghalang penularan wabak ini,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Tedros turut mendedahkan kadar permintaan tabung oksigen telah meningkat 13 kali ganda.
“Pada Jun lalu, kes harian COVID-19 adalah sekitar 140 ribu dan kadar penggunaan tabung oksigen adalah sekitar 88 ribu di seluruh dunia,
“Kadar kes harian COVID-19 pada ketika ini adalah melebihi 400 ribu dengan kadar permintaan tabung oksigen telah meningkat kepada 1.2 juta sehari,” jelas Tedros.
Sehingga kini, jumlah kes jangkitan COVID-19 pada peringkat global adalah telah melebihi paras 42 juta.
Menurut Johns Hopkins University, wabak itu telah meragut 1,142,291 nyawa di seluruh dunia. – airtimes.my