Home Semasa Kastam rampas rokok seludup bernilai RM14.45 juta

Kastam rampas rokok seludup bernilai RM14.45 juta

by Nurulhuda

LABUAN, 23 Julai – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya melumpuhkan penyeludupan rokok bernilai RM14.45 juta yang membabitkan 20.4 juta batang rokok.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alifiah dalam kenyataan berkata, cubaan penyeludupan rokok tersebut berjaya dipatahkan oleh pasukan Unit Siasatan Dalaman (USD) di Pelabuhan Labuan pada 10 Julai lalu.

“Pemeriksaan ke atas Borang Kastam 1, (Import), Dokumen Perkapalan dan Daftar Muatan Kapal menunjukkan dagangan di dalam dua kontena tersebut diikrar sebagai rokok dan diimport dari salah sebuah negara di Asia Tenggara,

“Siasatan awal mendapati syarikat pengimport tidak mempunyai lesen import yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam. Kedua-dua kontena tersebut telah tiba di Pelabuhan Labuan pada 9 Julai 2020,

“Anggaran jumlah barang rampasan adalah sebanyak 20.4 juta batang rokok yang dianggarkan bernilai sebanyak RM2.24 juta dengan anggaran jumlah duti/cukai terlibat sebanyak RM14.45 juta,” katanya.

Johari berkata, dengan penahanan kontena itu, dua buah syarikat dan seorang ejen kastam telah dikenal pasti kerana disyaki menguruskan pengikraran dagangan di dalam kontena tersebut.

“Beberapa individu lain disyaki terlibat juga telah dikesan untuk membantu siasatan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Katanya, kes tersebut sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Peraturan-Peraturan Kastam 2019.-airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply