Home Semasa Sultan Selangor perkenan lebih banyak masjid dibuka mulai esok

Sultan Selangor perkenan lebih banyak masjid dibuka mulai esok

by Farrah Najihah Hisyam

SHAH ALAM, 18 Jun – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar lebih banyak masjid dibuka bermula esok sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata, perkara tersebut dibuat selepas mengambil maklum perkembangan terbaharu wabak COVID-19 dan Baginda berkenan supaya lebih banyak masjid dibuka.

Beliau berkata, Baginda juga berkenan untuk membenarkan masjid-masjid di mukim negeri Selangor yang dikategorikan sebagai zon hijau oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk melaksanakan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah tiga waktu (Subuh, Maghrib dan Isyak).

“Bagi Solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), jumlah jemaah ditambah daripada 40 orang kepada 250 orang tidak termasuk pegawai dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid,

“Jumlah kehadiran jemaah di 38 buah masjid yang dibenarkan sebelum ini ditambah daripada 40 orang kepada 150 orang tidak termasuk pegawai dan AJK masjid,

“Manakala masjid di dalam mukim zon hijau dihadkan kepada 40 orang tidak termasuk pegawai dan AJK masjid,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, untuk solat berjemaah tiga waktu pula, jumlah kehadiran jemaah bagi tiga waktu solat berkenaan di Masjid Negeri dihadkan seramai 250 orang tidak termasuk pegawai dan AJK masjid.

“Jumlah kehadiran jemaah bagi tiga waktu solat fardu berjemaah di 38 masjid yang dibenarkan sebelum ini dihadkan seramai 150 orang tidak termasuk pegawai dan AJK masjid,

“Dan jumlah kehadiran jemaah bagi tiga waktu solat fardu berjemaah di masjid di seluruh negeri yang berada dalam mukim zon hijau pula dihadkan seramai 40 orang tidak termasuk pegawai dan AJK masjid,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata Sultan Selangor menitahkan supaya pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidil Adha hanya boleh dilaksanakan di Masjid Negeri, 38 buah masjid yang terpilih serta masjid yang dikategorikan dalam mukim zon hijau sahaja.

“Seiring dengan keputusan terbaharu ini, Baginda mengingatkan rakyat agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),

“Ini termasuk mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup muka (face mask) serta mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply