Home Semasa 2 kakitangan Imigresen antara 14 kes baharu positif COVID-19

2 kakitangan Imigresen antara 14 kes baharu positif COVID-19

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 18 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan dua kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) antara 14 kes positif yang dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kedua mereka yang disahkan positif wabak berkenaan bertugas di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil.

“Kes baharu itu turut melibatkan 3 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan 11 penularan tempatan.

“Daripada 14 kes baharu yang dilaporkan, 3 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan 2 warganegara Malaysia dan 1 bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap,

“Daripada 11 kes penularan di dalam negara, 7 kes adalah bukan warganegara manakala 4 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataanya hari ini.

Beliau berkata bagi kes yang melibatkan warga asing, KKM telah mengesan 2 kes di Kuala Lumpur dan Sarawak. Manakala di Selangor, Sabah dan Perak masing-masing satu kes dilaporkan.

“Selain kes kluster DTI Bukit Jalil, KKM juga mengesan 1 kes masing-masing semasa membuat saringan pembedahan di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching dan ketika membuat saringan untuk ke luar negara atas urusan penting,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham turut menjelaskan jumlah kes pulih daripada wabak pandemik COVID-19 di Malaysia telah melepasi 93 peratus dengan pertambahan 127 kes pulih hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari wabak COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,000 kes iaitu 93.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,

Manakala, sehingga pukul 12.00 tengah hari tadi, terdapat 14 kes baharu yang telah dilaporkan dan ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,529 kes.

Bagaimanapun, beliau menyatakan, tiada kematian baharu dilaporkan pada hari ini, sekaligus menjadikan angka korban akibat wabak berkenaan kekal 121 kes.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply