Home Pertahanan dan Keselamatan Panglima Angkatan Tentera sahkan anggotanya terlibat seludup PATI

Panglima Angkatan Tentera sahkan anggotanya terlibat seludup PATI

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM, mengesahkan penahanan 2 pegawai dan 3 anggotanya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Johor Bahru.

Affendi berkata penahanan 5 individu tersebut adalah merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Johor berkaitan penahanan 18 penguatkuasa melibatkan pegawai dan anggota dari PDRM serta ATM susulan tangkapan 40 suspek sindiket penyeludupan PATI pada 4 Jun lalu.

“Adalah ditegaskan bahawa, ATM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat di dalam melakukan apa jua kegiatan jenayah,

“Ketegasan ini adalah penting kerana ia mencemarkan imej ATM sebagai pasukan keselamatan yang bertanggungjawab dalam memastikan kedaulatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga menegaskan, ATM akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk membuat tindakan lanjut agar mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sindiket penyeludupan PATI ini dapat ditangani keseluruhannya.

“Penahanan mereka ini juga menunjukkan keberkesanan Operasi Benteng di bawah pengawasan National Task Force (NTF),

“Ini membuktikan kesepaduan agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan bukan sahaja dapat memperkukuhkan kawalan operasi persempadanan negara, malah turut memperkasakan nilai integriti di kalangan pegawai serta anggota ATM dalam melaksanakan apa jua tugas yang diamanahkan,”katanya.-airtimes.my

 

 

Related Articles

1 comment

Leave a Reply