Home Semasa COVID-19: Pengawal keselamatan warga asing wajib buat ‘swab test’

COVID-19: Pengawal keselamatan warga asing wajib buat ‘swab test’

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 8 Mei – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan telah memutuskan semua pengawal keselamatan warga asing diwajibkan untuk melakukan saringan kesihatan COVID-19 iaitu ‘swab test’.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengasingkan semua pengawal keselamatan yang positif COVID-19 sudah dihantar ke hospital untuk dirawat,

“Manakala kontak kepada pengawal keselamatan itu telah pun dibuat swab test untuk dikenalpasti kesan daripada kontak yang mempunyai positif COVID-19,” katanya pada sidang media harian pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pengawal keselamatan itu mempunyai jumlah hubungan kontak yang terlalu ramai dan terdedah risiko dijangkiti COVID-19.

“Terutama kalau dia (pengawal keselamatan) menjaga pusat membeli-belah, mereka yang akan check suhu badan kita sebelum masuk,

“Jadi tentu hubungannya terlalu banyak dengan orang ramai, lebih-lebih lagi mereka (pengunjung) yang masuk dalam supermarket tidak didaftarkan, jadi sukar buat pengesanan.

“Oleh itu, mesyuarat yang bersidang pada hari ini telah memutuskan semua pengawal keselamatan warga asing diwajibkan untuk buat saringan kesihatan swab test,” ujarnya.

Tambah Ismail Sabri lagi, pengawal keselamatan berada dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), jadi KDN akan mengeluarkan arahan supaya mewajibkan kesemua pengawal keselamatan membuat saringan kesihatan tersebut.

Manakala mengenai keputusan untuk menutup pusat beli-belah tersebut, beliau berkata KKM akan memberikan pandangan dan nasihat mereka berkaitan perkara itu.

“Kalau KKM rasa perlu ditutup maka tindakan ditutup akan diambil,” katanya.

Semalam, KKM telah memaklumkan kewujudan kluster baharu membabitkan pengawal keselamatan di sebuah pusat membeli belah di Cheras yang membabitkan sembilan warga Nepal dan seorang rakyat tempatan telah dikesan. – AirTimes

 

 

Related Articles

Leave a Reply