Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: ATM, PDRM pamer semangat kerjasama yang tinggi

COVID-19: ATM, PDRM pamer semangat kerjasama yang tinggi

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan operasi bersama dilihat lebih akrab dan efisen terutamanya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ke-5.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata kerjasama yang telah terjalin sekian lama ini hanya perlu diteruskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedia ada.

“Kerjasama dengan PDRM bukan perkara baru, bukan hanya pada PKP ini sahaja tapi ia sebilangan masa,

“Kita akan boleh lihat selepas ini operasi bersama-sama akan berlaku dengan lebih efisen, dan kerjasama akan terus berlanjutan,

“Saya ingin menyatakan bahawa ATM dan PDRM, semangat kerjasama antara pasukan adalah tinggi, mahupun daripada peringkat atasan ataupun anggota bawahan, sangat akrab sekali,” kata Affendi kepada pemberita ketika ditemui di Pasar Borong Selayang, hari ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM ketika ditemui di Pasar Borong Selayang. Foto: AirTimes/Pahmi

Dalam perkembangan lain, Affendi menegaskan ATM sentiasa memperketatkan kawalan keselamatan di semua pintu masuk dan sempadan negara bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) secara haram.

“Selain ATM, sempadan negara sentiasa dikawal ketat oleh pasukan keselamatan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM),

“Terdapat juga beberapa agensi lain yang terlibat sama ada secara langsung dan tidak langsung. Agensi ini ditugaskan untuk menentukan kawalan di sempadan dapat diperketatkan bagi mengekang kemasukan PATI melalui jalan-jalan tikus,

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini adalah untuk menentukan wabak pandemik COVID-19 tidak dibawa masuk oleh warga asing,

“Semua pintu masuk sempadan seperti lapangan terbang, pelabuhan dan jalan-jalan darat kita kawal dengan rapi. Mereka (rakyat Malaysia) yang dibenarkan masuk akan dikuarintin selama 14 hari dulu,” tambahnya.

Beliau berkata ATM dengan kerjasama semua agensi keselamatan akan memperkukuh dan memperketatkan kawalan di sepanjang persempadanan negara terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak ini.

“Kita (ATM) dan semua agensi-agensi keselamatan sentiasa mengembeling tenaga untuk menutup semua mana-mana pintu dan jalan-jalan tidak dibenarkan bagi menghalang warga asing masuk,

“Semua agensi-agensi perlu bergabung tenaga bagi mengawal sempadan negara kita yang luas dengan lebih efektif. Kita juga perlu menggunakan sistem serta aset-aset yang ada supaya dapat menentukan jalan-jalan tersebut dikawal dengan ketat,” katanya. – AirTimes

Related Articles

Leave a Reply